Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penambahbaikan SOP perlu selari penguatkuasaan


Tarikh kemaskini: 31/03/2019





KUANTAN, 31 Mac (Bernama) -- Penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang perlu diselarikan dengan penambahbaikan penguatkuasaan. 

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM) Ali Akbar Othman berkata pihak terlibat perlu memastikan jumlah tenaga agensi penguatkuasaan mencukupi untuk memantau operasi perlombongan, kerana kekurangannya menyumbang kepada pencemaran sebelum ini. 

"Kita mencadangkan supaya Majlis Keselamatan Negeri (MKN) turut sama memantau aktiviti perlombongan bauksit mengambil kira pengalaman lalu apabila lima kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Kuantan perlu memantau hampir 500 lori bauksit setiap hari," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Ali Akbar juga mencadangkan supaya penglibatan orang awam seperti skim rondaan sukarela diwujudkan khusus untuk memantau isu berkaitan penjagaan alam sekitar, termasuk dalam perlombongan bauksit. 

Katanya, ia boleh dianggotai oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan penduduk dalam isu setempat dan keanggotaannya perlulah diperakui oleh kerajaan serta diperuntukkan bidang kuasa yang bersesuaian.

Ali Akbar seterusnya memuji ketelusan kerajaan dalam mempamerkan draf SOP itu dilaman web Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) hari ini, bagi membolehkan rakyat menilai dan mengemukakan cadangan yang akan disusuli dengan sesi pendengaran awam pada 14 April ini di Kuantan. 

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh Datuk Dr Abd Wahid Abd Manaf berpendapat kerajaan negeri perlu mengeluarkan SOP sendiri sebagai 'sokongan' kepada SOP yang dikeluarkan KATS. 

"Sekalipun kita telah mempunyai SOP, penilaian dan penelitian semula perlu dilakukan berkali-kali. Jangan tergesa-gesa membenarkan semula aktiviti perlombongan berjalan kerana mereka terlibat perlu menanggung kos jika moratorium dikenakan semula atas alasan pencemaran," katanya. 

Abd Wahid menambah kebimbangannya adalah jika SOP baharu mewajibkan bauksit dicuci sebelum boleh dibawa ke pelabuhan, ekoran persoalan ke mana air bauksit akan mengalir dalam kuantiti yang banyak selain menimbulkan masalah debu apabila kering. 

Beliau berharap pihak-pihak terlibat dapat berbincang dan terbuka dengan cadangan daripada pemain industri yang akan dikemukakan dalam laman web atau pada pendengaran awam, supaya aktiviti perlombongan dan pengeksportan dalam kaedah yang lestari dapat bermula. 

"Kita menyokong industri bauksit kerana ia membantu menjana ekonomi... bukan hanya ekonomi kerajaan negeri, tetapi juga peneroka yang terlibat dan pihak lain seperti pemandu lori. Jadi penyelesaian paling baik diperlukan," katanya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel