Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi cari Acap dihentikan


Tarikh kemaskini: 30/03/2019





GOPENG, 30 Mac (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau panggilan mesra Acap, yang hilang sejak Sabtu lepas dihentikan sepenuhnya 1 tengah hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata operasi itu dihentikan kerana tidak mendapat petunjuk baharu dan akan diaktifkan semula sekiranya mendapat maklumat lanjut atau petunjuk baharu di tempat kejadian.

"Pelbagai elemen telah dibentuk dan terlibat sepanjang operasi dijalankan melibatkan keluasan kawasan pencarian 35 kilometer (km) persegi berbanding sembilan km persegi di kawasan laluan di Bukit Rateh dan Bukit Batu Putih.

"Kawasan pencarian meliputi 16 lokasi darat antaranya Bukit Batu Putih, Bukit Rateh, Kampung Saribu, Kampung Sungai Itek, Kampung Jahang dan Kampung Pintu Padang serta melibatkan pencarian di laluan sungai sepanjang 30 km dari Kuala Razila ke Sungai Kinta," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Anggota Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye di sini hari ini.

Hasron Nazri berkata selain itu pencarian di kawasan laluan GUT 2019, pemeriksaan turut dibuat ke atas 13 resort, penginapan rekreasi dan hotel bajet di sekitar pekan Gopeng selain hospital kerajaan serta swasta di sekitar daerah Kampar dan Ipoh.

Katanya selain  polis, operasi SAR itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi  seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,  Pasukan Gerakan Am selain persatuan pendaki dan penduduk setempat yang dianggarkan mencecah 800 orang membabitkan 70 kumpulan pencari.

Katanya Pejabat Penerangan Daerah Kampar akan mengambil tindakan untuk menguar-uarkan maklumat berkaitan mangsa dan kejadian melalui media massa serta media sosial selain beberapa program akan dianjurkan di sekitar kawasan tempat kejadian.

"Mana-mana badan sukarela atau orang perseorangan yang ingin membuat pencarian adalah dibenarkan tetapi perlu memaklumkannya kepada Balai Polis Gopeng di talian 05-359 2222, " katanya.

Menurut Hasron Nazri, pihaknya akan menjalankan rondaan secara berkala di kawasan terlibat dan mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di talian 05-465 0020.

Sementara itu, Dr Lee berkata pihak Kementerian Kesihatan akan memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga Mohammad Ashraf yang merupakan juruteknologi makmal di Klinik Kesihatan Muar, Johor.

Mohammad Ashraf, dari Muar bersama 485 peserta lelaki dan perempuan memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pada pagi  23 Mac dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama. 

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis pada pukul 1.09 pagi, Ahad lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel