Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelaksanaan caj baharu beg plastik dimuktamadkan selepas dapat maklum balas semua pihak


Tarikh kemaskini: 30/03/2019





GEORGE TOWN, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan cadangan menaikkan caj beg plastik daripada 20 sen sekarang kepada 50 sen seunit.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam dan beliau mengarahkan lebih banyak penglibatan daripada pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat sebelum dimuktamadkan.

"Di Pulau Pinang, kita sudah ada dasar 'No Free Plastic Bag' dengan caj 20 sen dikenakan atas pengguna yang masih ingin menggunakan beg plastik. Kita mendapati walaupun ada caj sejak ia dimulakan pada 2009 masih ada pengguna rela membayar untuk mendapatkan beg plastik. 

"Sejak 10 tahun pelaksanaannya, kira-kira RM8 juta ke RM9 juta kutipan caj beg plastik direkodkan. Pungutan yang begitu banyak ini menunjukkan ia masih tidak menghindar pengguna daripada mahu plastik beg dengan membayar 20 sen," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan 'Inspiring Future Leaders' anjuran Persatuan Peniaga Wanita Pulau Pinang (PWCC), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata kerajaan negeri menimbang untuk menaikkan caj beg plastik kepada 50 sen seunit selepas kadar semasa didapati kurang berkesan dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik.

Bagaimanapun, Chow berkata sejak pelaksanaan caj 20 sen itu, 50 peratus pengguna membawa beg sendiri ketika membeli belah sekaligus menunjukkan kesedaran pengguna untuk memelihara alam sekitar.

Menurutnya, buat masa ini pelaksanaan caj beg plastik 20 sen itu hanya dilaksanakan di semua pasar raya di negeri ini.

"Apa yang kita lakukan cuma satu tindakan yang kecil ke arah memastikan alam sekitar kita tidak tercemar lagi oleh pembuangan sisa-sisa plastik secara tidak bertanggungjawab.

"Di samping itu, bukan ini sahaja. Inisiatif 'No Single Use Plastic' juga perlu dipergiatkan lagi. Banyak perkara yang boleh dan perlu dilakukan (untuk memelihara alam sekitar). Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak" katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengharamkan penggunaan plastik secara sepenuhnya di negeri ini, Chow berkata perkara itu juga akan dibincangkan bersama pihak berkepentingan.

"Masanya akan tiba, kita akan lakukan secara progresif. Lama kelamaan kita akan melihat gaya hidup baru," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel