Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kertas Putih Pertahanan dijangka siap sebelum Ogos - Liew


Tarikh kemaskini: 29/03/2019





LANGKAWI, 29 Mac (Bernama) -- Kertas Putih Pertahanan, satu pelan tindakan bagi merangka  dasar berkaitan pertahanan dan keselamatan negara, dijangka dapat disiapkan sebelum Ogos ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong.

Beliau berkata ketika ini kertas putih berkenaan sedang diusahakan oleh kementeriannya sebelum  dibentangkan di Parlimen.

“Seperti yang diumumkan menteri pertahanan (Mohamad Sabu) pada awalnya, kami berharap dalam tempoh ini jemaah menteri boleh berbincang beberapa kali mengenainya (kertas putih pertahanan), tentang apa yang kementerian ini akan bentangkan.

“Akhirnya, draf kertas putih pertahanan dapat diterima oleh jemaah menteri dan dibentang di Parlimen pada September,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada sesi soal jawab Kertas Putih Pertahanan sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.          

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian LIMA’19, percaya bahawa kertas putih pertahanan itu, merupakan sumbangan penting kepada landskap pertahanan Malaysia atas beberapa sebab dan mewakili prospek strategik mengenai pertahanan.

Kertas putih berkenaan akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata dengan adanya kertas berkenaan semua pihak termasuk ATM, polis dan agensi lain yang berkaitan akan mempunyai garis panduan yang jelas tentang tugas dan peranan masing-masing.

LIMA'19 yang bermula pada Selasa dan akan berakhir esok, disertai 406 syarikat - 206 tempatan dan 200 asing - yang kebanyakannya berkaitan pertahanan.

Venue pameran ialah di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel