Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima helikopter antara logistik yang disediakan Sarawak hadapi kemarau


Tarikh kemaskini: 26/03/2019





KUCHING, 26 Mac (Bernama) -- Lima helikopter, 170 lori serta 283 bot dan lima dron adalah antara logistik yang disediakan oleh kerajaan negeri Sarawak dalam menghadapi musim kemarau yang dijangka berlanjutan sehingga Mei, khususnya bagi membekalkan air kepada penduduk.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata persiapan kali ini dilakukan selepas mengambil kira kelemahan dalam pelaksanaan pada musim kemarau lepas. 

“Kita telah memberi arahan bahawa dalam masa enam jam selepas aduan diterima oleh pejabat residen, air mesti sampai di kampung yang membuat aduan itu,” kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) pada sidang media selepas mesyuarat post-mortem JPBN, di sini hari ini.

Katanya bagi penghantaran bekalan air ke tempat terpencil, pihak yang berkenaan dibenarkan menyewa apa juga logistik yang ada di kawasan terbabit  bagi memastikan bekalan air sampai kepada penduduk.

Sementara itu, mengenai kerosakan akibat banjir yang melanda Sarawak bagi tempoh 7 Jan hingga 7 Mac lepas, beliau berkata pejabat daerah menerima permohonan wang ihsan berjumlah RM303,000 untuk diagihkan kepada 606 keluarga yang terlibat.

“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah menyalurkan RM17,914.36 untuk menguruskan sembilan kes banjir dan sebanyak RM6,900 bagi dua kes tanah runtuh di bahagian Limbang,” katanya, menambah sebanyak 38 sekolah terjejas banjir di sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang yang melibatkan 3,671 murid, 517 guru dan 239 bukan guru.

Banjir terbabit turut menjejaskan tujuh klinik kesihatan di empat bahagian iaitu Kuching, Serian, Sibu dan Bintulu, manakala dari segi pertanian hanya satu bahagian terjejas, melibatkan lima pekebun di daerah kecil Debak dengan kawasan seluas 2.7 hektar dan nilai kerugian kira-kira RM6,600.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel