Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Permohonan Biasiswa Kerajaan Sabah dibuka esok


Tarikh kemaskini: 25/03/2019





KOTA KINABALU, 25 Mac (Bernama) -- Permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) 2019 akan dibuka mulai esok sehingga 25 April depan, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Sehubungan itu, Dr Yusof meminta pelajar berasal dari Sabah yang mendapat keputusan cemerlang dan memenuhi syarat yang ditetapkan agar tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan biasiswa berkenaan.

“Semua permohonan BKNS  boleh dilakukan secara atas talian melalui di www.biasiswa.sabah.gov.my dan setiap pemohon mestilah mempunyai email peribadi masing-masing yang masih aktif,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata permohonan biasiswa berkenaan dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar diperingkat Sijil Tinggi Amaga Malaysia (STAM), diploma dan Matrikulasi .

“Kelayakan pemohon bagi SPM ialah 7A Keatas dan STPM pula Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.3 yang diperoleh dengan hanya sekali menduduki peperiksaan.

“Manakala kelayakaan keputusan di peringkat Matrikulasi dan diploma pula adalah CGPA 3.5 keatas dan bagi kursus Perubatan, Pergigian dan Farmasi perlu memperoleh sekurang-kurangnya CGPA 3.8 di peringkat  peringkat STPM/Diploma/Matrikulasi dan tawaran biasiswa hanya di Instiut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan sahaja,”katanya.

Beliau berkata tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A+ dalam SPM dan CGPA 4.0 dalam STPM diberi keutamaan untuk mendapatkan biasiawa berkenaan.

“Saya difahamkan seramai 148 pelajar mendapat 10A+ keatas dalam SPM dan 61 pelajar mendapat CGPA 4.0 di Sabah yang dikeluarkan baru-baru ini dan saya berharap kesemua pelajar berkenaan memohon untuk mendapatkan biasiswa ini,” katanya.

Dr Yusof berkata pelajar boleh membuat permohonan biasiswa berkenaan walaupun belum mendapat tawaran ke IPT kerana kementeriannya akan membantu pemohon berkenaan untuk mendapatkan kursus yang bersesuaian dan diperlukan industri pada masa kini.

“Antara kursus yang ditetapkan adalah dalam bidang Seni Bina, Kejuruteraan, Juruukur Bahan, Perhutanan, Komunikasi, Sains Alam Sekitar, Pengurusan Hartanah, Pentadbiran Perniagaan, Perakunan, Pergigian, Sains Komputer, Undang-Undang, Perubatan Veterinar, dan Sains Bioteknologi,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan para ibu bapa dan pelajar agar memilih kursus yang diperlukan industri pada masa kini sekiranya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah.

“Kita tidak mahu para pelajar memilih kursus yang tidak popular kerana akhirnya mereka sendiri yang rugi kerana tidak mendapat pekerjaan, sekali gus meningkatkan jumlah penganggur di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel