Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPM akan berusaha dapatkan CPC 552 buah sekolah, akhir tahun ini


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





JOHOR BAHRU, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berusaha mendapatkan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) terhadap 552 buah sekolah di seluruh Malaysia pada akhir tahun ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata ini bagi memastikan tiada sekolah di negara ini tidak mempunyai CPC, sekaligus membolehkan pihak sekolah menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif kepada pelajar. 

“Kita memandang serius isu ini, dan ada rancangan tempoh masa pendek dan panjang (bagi menyelesaikan masalah sekolah tidak ada CPC). Tempoh masa pendek kita selesai bulan Jun, dan lain-lain diselesaikan akhir tahun.

“Anggaran kos untuk (selesaikan kerja-kerja) sesebuah sekolah secara puratanya pula adalah sebanyak RM300,000,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat tapak baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau, di sini, hari ini.

Semasa lawatan itu, Teo turut menyerahkan CPC kepada guru besar sekolah berkenaan, A S Palaniamah

Teo berkata, beliau dimaklumkan terdapat sesetengah sekolah terpaksa beroperasi tanpa CPC kerana sudah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan perakuan berkenaan.

“ Sebenarnya ada bangunan yang telah digunakan, tetapi ini adalah isu keselamatan dan kalau ada perkara yang tidak diingini berlaku dan bangunan itu tidak ada CPC, tidak dapat tuntutan insuran.

“Jadi kita akan cuba sedaya upaya untuk memastikan agar semua bangunan sekolah dapat CPC,” katanya.

Berhubung SJKT Ladang Tebrau, beliau menjangkakan bangunan baharu sekolah berkenaan dapat beroperasi pada 31 Mac ini.

“Terdapat 15 bilik darjah di sekolah ini dan mampu menampung 405 murid. Sekolah ini dipindahkan ke tapak baru kerana bangunan lama sudah usang, selain tidak dapat tampung keperluan dan terletak di sebelah sungai (ancaman banjir),” katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel