Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua maut dalam kemalangan berasingan


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





KLUANG, 24 Mac (Bernama) – Dua lelaki, masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta maut dalam kemalangan berasingan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dan Jalan Yong Peng-Kluang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pertama pukul 3.20 pagi di Kilometer 83 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, mangsa – Muhamad Zulfikar Jono, 23, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lagi motosikal.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Abduh Ismail berkata ketika kejadian, mangsa dan pemandu motosikal lain itu sedang menuju ke Ayer Hitam dari Simpang Renggam.

“Akibat pergeseran, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya dan Mohamad Zulfikar maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Kaslom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat manakala seorang lagi penunggang, Muhamad Hafizee Mohamad Rafiee, 18, yang mengalami kecederaan parah dirawat di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian kedua di Kilometer 76 Jalan Yong Peng-Kluang, seorang pemandu – M Kalai Venthan, 29, maut selepas keretanya terbabas akibat hilang kawalan.

Dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, kereta mangsa yang dipandu menuju ke bulatan Taman Sri Lambak dari Jalan Teck Wah Hing, telah terbabas dan melanggar pagar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kluang.

Berikutan pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat hentakan kuat di bahagian kepala dan kecederaan dalaman, dan turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel