Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

200 pelajar sertai Program Latihan Akademik Empower 2019


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





KEMAMAN, 24 Mac (Bernama) -- Seramai 200 murid Tahun Enam dan Pelajar Tingkatan Lima sekitar Kemaman hari ini menyertai Program Latihan Akademik Empower 2019 anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Pengurus Besar Pejabat Wilayah Negeri ECERDC Terengganu, Ahmad Fuad Sulaiman berkata program yang melibatkan tujuh buah sekolah itu adalah satu usaha sama antara ECERDC dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menyasarkan peningkatan pencapaian akademik peserta dari keluarga kurang berkemampuan sekitar daerah Kemaman. 

"Program ini bertujuan membina jati diri bagi membantu pelajar supaya sentiasa bermotivasi tinggi sebelum menduduki peperiksaan awam utama termasuk Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

"Kejayaan program sebelum ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada peningkatan kualiti modal insan di negeri Terengganu amnya dan di Kemaman khususnya. Besarlah harapan saya agar melalui pelaksanaan program ini dapat meningkatkan dan mengukuhkan prestasi akademik para pelajar seterusnya mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat yang berada di Kemaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tujuh sekolah yang terlibat dalam program itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bandi, SK Kuala Kemaman, SK Seberang Tayor, SK Kg Chabang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, SMK Ayer Puteh dan SMK Geliga.

Pada majlis itu, dua pelajar SMK Bukit Kuang yang menyertai program Empower ECER turut hadir berkongsi rahsia kejayaan mereka yang memperolehi keputusan 8A dalam SPM baru-baru ini.

Dua pelajar itu, Tuan Muhammad Aiman Tuan Khairul dan Sharifah Nur Atiqah Syed Redzwan juga berterima kasih kepada ECER yang menganjurkan program Empower kerana banyak membantu mereka dalam mencapai kecemerlangan SPM.

Untuk rekod, program Empower ECER mula diperkenalkan di daerah Kemaman pada tahun 2011 dan telah diperluaskan ke daerah Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Setiu, Marang dan Seberang Takir.

Sehingga kini, seramai 6,946 pelajar telah mendapat manfaat hasil Program Latihan Akademik dan 2,840 peserta pula telah mengikuti program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan di seluruh Terengganu. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel