Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah rancang bina kawasan penyimpanan air daerah atasi masalah bekalan ketika kemarau


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





PENAMPANG, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah sedang dalam perancangan untuk mewujudkan kawasan penyimpanan air di setiap daerah di negeri ini sebagai kaedah baharu bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air semasa musim kemarau.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata konsep kawasan penyimpanan air yang sedang direka bentuk itu boleh mampu menampung keperluan air untuk jangka masa tiga hingga empat bulan.

"Kaedah membekalkan air menerusi kawasan penyimpanan air ini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kaedah baharu dan pendekatan jangka panjang bagi menghadapi musim cuaca panas dan kekurangan hujan yang pada kebiasaanya berlaku pada Januari hingga April.

"Kawasan penyimpanan air itu akan (menyedut) air sungai untuk disimpan bagi menghadapi musim kemarau," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta larian Sambutan Hari Air Sedunia 2019 peringkat Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai penggunaan air laut sebagai alternatif mengatasi masalah air di Sabah, Peter berpendapat kaedah berkenaan kurang sesuai dilaksanakan memandangkan Sabah masih mempunyai sumber air daripada sungai dan tasik selain kos pemprosesan air laut agak mahal.

Namun, Peter tidak menolak kemungkinan kaedah itu akan digunakan sekiranya bekalan air daripada sungai dan tasik di Sabah semakin berkurangan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Peter berkata, sebanyak enam daripada 14 loji air di Sabah berada pada tahap kritikal berikutan bacaan paras air di loji berkenaan semakin berkurangan akibat cuaca panas dan kekurangan hujan melanda negeri itu ketika ini.

Keenam-enam loji terbabit terletak di beberapa kawasan di Tawau dan Semporna, katanya.

Bagaimanapun, Peter berkata, bacaan paras air di loji terbabit masih terkawal dan pihaknya akan mengambil beberapa alternatif termasuk menghantar bekalan air ke kawasan terjejas dan melakukan pembenihan awan sekiranya cuaca panas dan kurang hujan masih berlarutan.

"Tetapi, buat masa ini, pembenihan awan belum diperlukan memandangkan ada hujan turun dalam beberapa hari ini," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel