Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jadikan TVET pilihan utama lanjutkan pengajian - Kula Segaran


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





SEREMBAN, 24 Mac (Bernama) -- Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang me­nekankan pendekatan kemahiran perlu dijadikan pilihan utama pelajar yang ingin melanjutkan pengajian, dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang 2020. 

“Program latihan kemahiran adalah mustahak, pembangunan sesebuah negara berpotensi tergugat kalau tiada tenaga kerja yang mencukupi dalam bidang kemahiran ini dan sekiranya ia mencukupi, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing. 

“Harap anak muda boleh jadikan bidang TVET sebagai pilihan utama, ibu bapa jangan hanya tertumpu untuk hantar anak ke universiti semata-mata sedangkan bidang TVET tidak kurang pentingnya,” katanya selepas Program Bersiri Kementerian Sumber Manusia Bersama Rakyat di sini, hari ini. 

Kula Segaran berkata penglibatan kaum Cina dalam bidang TVET ketika ini hanya mencatatkan satu peratus manakala kaum India pula lima peratus.

“Sebab itu kita mahu galakkan lebih ramai pelajar tidak kira kaum menceburi bidang TVET. Bahkan saya ada juga pergi Cameron Highlands sebelum ini untuk menarik Orang Asli menyertai bidang TVET, meskipun terdapat kekangan komunikasi, namun mereka diberi sedikit kelonggaran bagi membolehkan mereka sama-sama mengikut kursus-kursus berkaitan,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang TVET, kursus jangka pendek yang hanya mengambil masa tiga hingga enam bulan turut ditawarkan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) antaranya kursus membaiki telefon bimbit.

“Setakat ini permohonan kemasukan ke ILP agak menggalakkan tetapi kita masih perlu galakkan pelajar masuk ke bidang ini, jadi kena jalankan kurus-kursus pendek yang hanya ambil masa tiga hingga enam bulan berbanding dahulu yang melibatkan tempoh pengajian lebih lama iaitu antara setahun ke dua tahun.

“Mereka yang terlibat dalam bidang TVET khususnya pelajar-pelajar ILP boleh dikatakan 94 peratus mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian bahkan ketika mereka masih belajar lagi kerja sudah menanti mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata Kementerian Sumber Manusia yang beribu pejabat di Putrajaya mengadakan Hari Bertemu Pelanggan setiap Selasa bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi, yang bukan sahaja dihadiri ketua-ketua jabatan namun beliau sendiri turut serta.

“Saya harap program ini dapat diperluaskan dan sekarang di Sabah pun telah diadakan program ini yang selain untuk mendekati masyarakat ia juga bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel