Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkhidmatan bas percuma di bandar Seremban mulai esok


Tarikh kemaskini: 22/03/2019





SEREMBAN, 22 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan perkhidmatan bas percuma di Bandar Seremban yang akan beroperasi mulai esok.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkhidmatan bas percuma ini adalah yang pertama di negeri ini.

"Penyediaan bas ini bertujuan memberikan perkhidmatan pengangkutan secara percuma sekali gus membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, selain dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan. Perkhidmatan ini juga dapat membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar.

"Program ini adalah anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Syarikat Cityliner Sdn Bhd yang menyediakan dua bas untuk perkhidmatan bas percuma di sekitar bandar Seremban," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan Bas Percuma Bandar Seremban 2019 di Terminal 1 di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab. Malik; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk  Zulkefly Mohamad Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong.

Aminuddin berkata waktu operasi bas ini dari 5.45 pagi hingga 8.45 malam dengan kekerapan perjalanan adalah selama setengah jam untuk sampai ke setiap hentian.

Katanya bas 'Khidmat Rakyat NS' ini akan melalui KM Plaza, Pejabat Pos Seremban Utara, Pasar Besar Seremban, Haji Shariff Cendol, Wisma Negeri, Majlis Perbandaran Seremban, KWSP Seremban, Hospital Tuanku Jaafar, Klinik Kesihatan Seremban dan KTM Seremban.

"Kami melancarkan perkhidmatan bas percuma ini di bandar Seremban untuk melihat sambutannya. Kami akan menilai dari semasa ke semasa keberkesanan dan keperluan perkhidmatan ini. Kemudahan ini adalah kemudahan percuma yang harus dimanfaatkan oleh semua rakyat di bandar Seremban ini.

"Jika perkhidmatan bas percuma ini mendapat sambutan menggalakkan, ada kemungkinan kami akan perluaskan di daerah lain. Kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 untuk perkhidmatan bas percuma ini pada tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel