Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Exco Pulau Pinang tertarik profesionalisme kerajaan New Zealand tangani situasi pasca insiden


Tarikh kemaskini: 21/03/2019





GEORGE TOWN, 21 Mac (Bernama) – Kerajaan New Zealand dan agensi-agensinya telah menangani situasi pasca insiden serangan di dua masjid di Christchurch secara profesionalisme, kata anggota Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh yang baru kembali dari New Zealand.

Beliau begitu tertarik dengan peranan Accident Compensation Corporation (ACC), sebuah entiti kerajaan New Zealand yang bertanggungjawab menguruskan skim kecederaan kemalangan yang menurutnya telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik membantu mangsa-mangsa serangan dan ahli keluarga mereka.

“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh ACC semasa pasctra insiden. Kita harus faham bahawa ini (serangan pengganas) adalah sesuatu yang tidak normal, dengan skala yang besar, dan tidak begitu mudah untuk dikendalikan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Phee berlepas ke Christchurch sabtu lepas bersama anggota Dewan Undangan Negeri Bayan (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz sebagai wakil kerajaan negeri untuk membantu mangsa-mangsa serangan, seorang daripadanya ialah Rahimi Ahmad, 39, yang berasal dari dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kerajaan negeri telah menguruskan semua keperluan untuk mereka mengiringi ibu Rahimi, Rokiah Mohamad, 65 dan abangnya, Rosdi, 42, dalam perjalanan itu.

Sementara itu, Phee menafikan dakwaan dari pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan New Zealand dan Malaysia melambat-lambatkan pengumuman mengenai kematian Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Kementerian Luar hari ini mengesahkan bahawa Muhammad Haziq ialah antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi penembakan di Christchurch, Jumaat lepas.

Beliau berkata pihak berkuasa New Zealand dengan ketat mematuhi dasar privasi yang menghendaki mereka melalui beberapa prosedur terperinci untuk mengesahkan identiti setiap mangsa dan apabila disahkan, hanya akan memaklumkannya keluarga mangsa terlebih dahulu sebelum menghebahkan maklumat itu.

Menurutnya, tidak benar sama sekali dakwaan bahawa pihak berkuasa mulanya cuba untuk menyembunyikan penemuan mengenai identiti mangsa kerana beliau mendapati bahawa setiap kakitangan melakukan yang terbaik untuk mempercepatkan proses pengecaman termasuk melalui proses asid deoxyribonucleic (DNA).

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa kerajaan Malaysia tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa warga Malaysia dalam insiden serangan itu.

“Saya berada di sana dan melihat sendiri kakitangan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah membantu untuk menenangkan mangsa-mangsa yang trauma serta keluarga mereka dan kakitangan berkenaan telah membantu sehingga larut malam,” kata beliau.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel