Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sesi temuduga terbuka projek WCE bermula esok


Tarikh kemaskini: 21/03/2019





IPOH, 21 Mac (Bernama) -- Orang ramai dipelawa untuk menghadiri sesi temuduga terbuka pelbagai jawatan yang ditawarkan untuk projek pembinaan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) merentasi Selangor dan Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata temuduga terbuka selama tiga hari itu bermula esok di tiga lokasi berbeza dengan menawarkan sebanyak 120 peluang pekerjaan antaranya pegawai perkhidmatan pelanggan, penyelia, eksekutif dan juruteknik.

Katanya temuduga itu diadakan esok di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan, Dewan Inderawati Beruas (Sabtu) serta Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Manjung pada Ahad dan semua sesi bermula dari 9 pagi sehingga 4 petang.

"Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah diberi amanah oleh pihak WCE untuk mengadakan temuduga itu dan kita menjangka jumlah kekosongan jawatan akan meningkat sehingga 220 apabila lebuh raya itu siap sepenuhnya akhir Mei nanti,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Lee berkata keutamaan diberikan kepada penduduk setempat selain menawarkan gaji pokok serta pakej persaraan yang menarik termasuk elaun, bayaran bekerja lebih masa, bantuan perubatan dan insurans.

Lee mengingatkan mereka yang berminat untuk menghadiri temuduga tersebut agar membawa dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu, resume serta sijil-sijil dan menyediakan salinan kesemua dokumen itu. 

Beliau berkata jajaran WCE sepanjang 233 km di Selangor bermula dari Jalan Banting-KLIA hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km, manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2 km. 

“Apabila siap sepenuhnya, perjalanan dari Klang ke Sekinchan, Selangor akan disingkatkan kepada 45 minit manakala Kuala Lumpur ke Manjung berkurang kepada satu jam, ini dapat memperbaiki serta melancarkan proses logistik antara kedua-dua negeri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Seri Faizal berkata projek WCE mampu meningkatkan nilai hartanah di kawasan persisiran pantai barat Selangor dan Perak.

“Ia juga dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk melalui peluang pekerjaan. Kerajaan Perak dan unit perancangan negeri sedang merangka kawasan pertumbuhan baharu di sepanjang jajaran lebuhraya WCE,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd Datuk Neoh Soon Hiong berkata pihaknya berusaha untuk memastikan lebuh raya berkenaan dapat beroperasi akhir Mei depan iaitu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun nanti.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel