Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pan Borneo di Sabah tidak jejaskan hutan simpan, tanpa jajaran baharu - Mohd Shafie


Tarikh kemaskini: 21/03/2019





KOTA KINABALU, 21 Mac (Bernama) — Kerajaan Sabah mahu projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo hanya melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan raya sedia ada tanpa perlu membuka atau membina jajaran baharu yang dikhuatiri menjejaskan kawasan hutan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kemudahan lebuh raya efisien sememangnya penting untuk pembangunan sosioekonomi penduduk Sabah, namun, pembinaan infrastruktur itu juga perlu mengambil kira kepentingan menjaga hutan simpan bagi ekosistem habitat lain.

“Itu (pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah tidak menjejaskan hutan simpan) adalah sebahagian perkara dibincangkan kerajaan negeri bersama pihak berkaitan di peringkat Persekutuan dan saya harap mereka mengambil serius perkara itu.

“Pembinaan lebuh raya itu seharusnya tidak melibatkan penebangan pokok atau penarahan bukit kerana pendekatan tersebut hanya menjejaskan hutan di Sabah selain memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa Heart of Borneo dan Hari Hutan Sedunia 2019 di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kebimbangan pakar hidupan liar terhadap pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi kawasan hutan simpan kerana dilihat akan mengganggu habitat hidupan liar.

Pada Selasa, Pakar Hidupan Liar Benoit Goossens dalam sebuah laporan portal berita memberi peringatan mengenai kesan terhadap manusia dan haiwan yang akan berlaku sekiranya projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo itu dibenarkan memotong kawasan hutan simpan di Sabah.

Beliau berkata sebahagian pembinaan lebuhraya itu akan memotong rizab hutan kelas 1 yang mana dikhuatiri akan menyebabkan hidupan liar seperti gajah dan beruang madu berpindah ke kawasan lain sekali gus meningkatkan konflik antara manusia dan haiwan.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pembinaan lebuh raya itu akan lebih cepat dan menjimatkan kos sekiranya ia hanya melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan raya sedia ada berbanding membuka laluan baharu yang akan mengambil masa bagi proses mengambil alih tanah.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, persetujuan telah dicapai dalam perbincangan antara kerajaan negeri bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Kerja Raya Baru Bian untuk tidak melibatkan sektor swasta seperti rakan pelaksana projek (PDP) dalam projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah bagi memastikan pengurusan kewangan dan kos pembinaan lebih efisien serta berakauntabiliti.

Beliau berkata projek lebuh raya itu perlu diuruskan secara telus kerana apa yang lebih penting rakyat mendapat manfaat daripada pembinaannya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga berharap langkah melibatkan agensi kerajaan negeri dalam pembinaan lebuhraya itu dapat dipercepatkan.

The Edge Financial Daily hari ini melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan menolak peranan  PDP dan bertukar kepada model kotraktor turnkey bagi projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM29 bilion itu.

Borneo Highway PDP Sdn Bhd merupakan  PDP bagi lebuh raya itu untuk  bahagian Sabah sepanjang 706 kilometer, manakala  Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd  merupakan  PDP bagi bahagian Sarawak.

— BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel