Waktu bekerja fleksibel mampu imbangi kerjaya dan keluarga
Tarikh kemaskini: 21/03/2019

KOTA KINABALU, 21 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) yang mula dilaksanakan pada 1 Mac lalu dilihat mampu menyeimbangkan di antara kerjaya dan kehidupan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah.
Beliau berkata melalui sistem WBF itu, penjawat awam mempunyai waktu bekerja fleksibel pada setiap hari berbanding Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) sebelum ini yang mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum mengubah jadual waktu bekerja.
“Ini adalah hasrat kita untuk mengimbangi antara kerjaya dan kehidupan (work life balance) dan berharap ia akan menjadikan penjawat awam seronok untuk datang bekerja.
“Di samping bekerja bersungguh-sungguh dan pada masa yang sama ada urusan keluarga yang perlu dibuat akan dapat diurus atau melakukan aktiviti riadah. Diharap semua penjawat awam akan dapat menggunakan waktu bekerja seperti yang telah ditetapkan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kepayan di sini hari ini.
Borhan berkata dengan WBF itu juga akan dapat menangani isu-isu yang berkaitan dengan kelewatan penjawat awam dalam menjalankan tugas.
Dalam pada itu, Borhan berkata pelaksanaan WBF secara rintis itu tidak termasuk kepada mereka yang bekerja mengikut jadual (shift) kerana ketika ini pihaknya lebih menumpukan kepada pelaksanaan waktu kerja baharu itu dan melihat tindak balas daripada projek rintis WBF.
WBF kini dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya manakala jabatan Persekutuan bagi negeri Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.
Berdasarkan waktu itu penjawat awam diberi fleksibiliti untuk memulakan waktu bekerja bila-bila masa di antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi mengikut kesesuaian masing-masing dengan syarat tempoh waktu bekerja sembilan jam dipenuhi.
--BERNAMA
|