Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perak yakin Persekutuan tidak tolak cadangan bina lapangan terbang baharu


Tarikh kemaskini: 21/03/2019





IPOH, 21 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin kerajaan Persekutuan tidak akan menolak cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa.

Beliau bagaimanapun akur banyak pertimbangan yang perlu dibuat oleh kerajaan Persekutuan sebelum cadangan tersebut mampu direalisasikan.

"Saya fikir kerajaan Persekutuan perlu timbang banyak perkara sebelum luluskan sesuatu cadangan. 

"Seperti saya sebut sebelum ini, adalah penting (sekarang) untuk memberi fokus kepada membawa lebih banyak pesawat ke Ipoh, maka dengan itu kita akan mencari jalan untuk naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah," katanya.

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita selepas program Townhall Maqasid 'Pentadbiran Berasaskan Maqasid' peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Ahmad Faizal mengulas mengenai keputusan kerajaan Persekutuan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Beliau sebelum ini menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk membina lapangan terbang baharu di Tapah atau Tanjung Malim.

Mengenai KXP,  Ahmad Faizal berkata ia akan merancakkan ekonomi negeri Perak terutama di kawasan utara. 

"Ia juga sebagai pelengkap kepada para pengilang yang mana Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tidak mampu kendalikan sebilangan besar kapal terbang kargo," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel