Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perak batal lesen perniagaan UUK Tred 2017 untuk ringankan beban peniaga


Tarikh kemaskini: 21/03/2019





IPOH, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak membatalkan kadar bayaran lesen perniagaan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Tred Perniagaan dan Perindustrian 2017 (UUK Tred 2017) yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu berkuatkuasa serta merta sebagai usaha meringankan beban golongan peniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mewartakan semula UKK Tred, Perniagaan dan Perindustrian 1989 (UUK Tred 1989).

Katanya pelaksanaan UUK Tred 2017 menimbulkan ketidakpuasan hati golongan peniaga dan rakyat di negeri ini yang berasa terbeban dengan kadar lesen perniagaan yang ditetapkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Setelah mengambil kira pelbagai aspek, kerajaan negeri sebulat suara untuk membatalkan pelaksanaan UUK Tred 2017 pada mesyuarat Exco kerajaan negeri yang diadakan semalam.

"UUK Tred 2017 diluluskan kerajaan sebelum ini dalam mesyuarat exco kerajaan negeri pada 5 Dis 2012 untuk diseragamkan pelaksanaannya di kesemua 15 Pihak Berkuasa Tempatan bagi meningkatkan hasil PBT,"  katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yong berkata keputusan pembatalan kadar UKK Tred 2017 dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan dan kos sara hidup serta membela nasib rakyat selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Bagi golongan peniaga yang sudah melakukan pembayaran lesen perniagaan mereka, kita akan membuat potongan kadar bayaran atau menyelaras semula pembayaran lesen berkenaan pada tahun depan," katanya.

Dalam sidang media yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing berkata pelaksanaan UUK Tred 2017 sebelum ini menyebabkan kadar kenaikan lesen perniagaan mencecah antara 100 hingga 400 peratus.

Tan berkata walaupun pelaksanaan UUK Tred 2017 mampu membantu menambah hasil pendapatan sesebuah PBT, namun kerajaan negeri perlu mengambil kira beban ditanggung peniaga apabila mereka perlu membayar kadar bayaran lesen yang terlampau tinggi.

-- BERNAMA   

 


 

   

 
 
     
   
 

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     

Ibu tunggal didakwa bunuh anak sendiri

 
     

Tiada rancangan laksanakan kajian mansuh butiran agama pada kad pengenalan - KDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel