Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kakitangan MAHB selamat dikebumikan di Batu Gajah


Tarikh kemaskini: 20/03/2019





BATU GAJAH, 20 Mac (Bernama) -- Kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Changkat Belengkor di sini hari ini.

Mohd Ruzaimi Iskandar, 39, yang meninggal dunia kira-kira 6.45 petang semalam akibat kecederaan parah dalam kemalangan Isnin lepas selamat dikebumikan kira-kira 5.45 petang.

Kira-kira 300 anggota keluarga dan rakan Allahyarham menghadiri pengebumian itu walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas dan terik. 

Terdahulu jenazah Allahyarham Mohd Ruzaimi Iskandar disembahyangkan di Masjid Toh Puan Besar Hatijah di sini sejurus tiba dari Hospital Sungai Buloh selepas selesai proses bedah siasat dilaksanakan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia antara satu hingga 13 tahun.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Jeleha Awang, 70, ketika ditemui pemberita berkata kali terakhir dia bertemu dengan anak kedua daripada tiga beradik itu kira-kira sebulan yang lepas.

"Walaupun mak cik sedih dan terkejut dengan pemergiannya, namun mak cik reda dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah.

Sepuluh tahun yang lalu, makcik kehilangan anak sulung lelaki akibat lemas dan makcik kehilangan seorang lagi anak lelaki, jadi sekarang ini makcik hanya tinggal anak bongsu perempuan sahaja," katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan berkata Mohd Ruzaimi Iskandar merupakan seorang pekerja yang berdedikasi dan sentiasa komited dalam apa jua tugasan.

Menyifatkan kematian Mohd Ruzaimi Iskandar sebagai satu kehilangan besar buat MAHB, pihaknya berjanji memberi sokongan penuh terhadap keluarga mangsa termasuk membantu urusan pengebumian dan kebajikan keluarga.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel