Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Garis panduan permohonan, pembaharuan lesen kilang kimia akan diteliti semula


Tarikh kemaskini: 20/03/2019





JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) – Kerajaan  akan meneliti semula garis panduan berhubung permohonan dan pembaharuan lesen kilang membabitkan penggunaan dan pelupusan sisa kimia berat bagi mengelakkan insiden pencemaran seperti berlaku di Pasir Gudang, berulang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata perkara itu akan  dikemukakan kepada kabinet selepas pihaknya mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Itu memang dalam tindakan selanjutnya apabila saya duduk (mesyuarat penyelarasan) di dalam PBT. Ini antara perkara yang kita hendak beri penetapan dan garis panduan.

“Saya kira, selepas ini, saya akan duduk dengan YDP (Yang Dipertua) Pasir Gudang, memberi  nasihat atau tindakan apa yang harus dilakukan. PBT harus buat semakan, periksa kilang-kilang dengan JAS untuk pastikan sama ada kilang-kilang ini layak untuk beroperasi atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Medic Base dan Pos Kawalan Operasi Bomba di Stadium Tertutup Pasir Gudang, di sini hari ini.

Zuraida berkata insiden yang berlaku di Pasir Gudang perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak dan KPKT sendiri akan mengambil beberapa langkah dalam melakukan penambahbaikan terutamanya dalam melibatkan penguatkuasaan.

Beliau berkata selain lesen, pemantauan terhadap peralatan atau mesin yang digunakan di kilang-kilang kimia juga perlu dilakukan oleh PBT dan JAS bagi memastikan ia beroperasi dengan baik tanpa berlaku sebarang kebocoran sehingga menyebabkan sisa buangan kimia mengalir ke dalam sungai.

“Saya juga mengingatkan orang awam supaya tidak membuang sampah bukan ditempatnya…ini akan menjadikan perkara ini (pencemaran) lebih teruk,” katanya.

Zuraida dalam pada sama turut mengucapkan syabas kepada seluruh pegawai dan anggota bomba yang memainkan peranan utama dalam penugasan di Pasir Gudang termasuk mengesan kehadiran kimia dan melakukan kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim.

Beliau berkata keseluruhannya seramai 153 pegawai dan anggota dari seluruh negara ‘berkampung’ di Pasir Gudang sepanjang dua minggu penugasan berlangsung termasuk 70 anggota dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).

Ditanya mengenai cadangan kenaikan elaun kritikal bomba yang masih tertangguh setakat ini, Zuraida berkata ia masih di peringkat kabinet.

“Insya-Allah, bulan April ini akan ada satu mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kakitangan perkhidmatan awam. Di situ kami (KPKT) berharap Perdana Menteri akan luluskan elaun RM200 itu,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel