Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MB Johor jelaskan lawatan ke Batam di tengah-tengah isu pencemaran Pasir Gudang


Tarikh kemaskini: 17/03/2019




JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian hari ini  menjelaskan lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke Pulau Batam Indonesia pada 15 Mac lalu  di tengah-tengah isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim dekat Pasir Gudang telah dirancang sebelum ini dan merupakan persediaan bagi Tahun Melawat Johor 2020. 

Beliau berkata lawatan kerja itu  bertujuan meningkatkan rangkaian kerjasama di antara penggerak industri pelancongan atau pelabur Johor dengan penggerak industri Indonesia khususnya di Pulau Batam.

“Lawatan kerja ini pada asalnya adalah selama tiga hari namun ia telah dipendekkan hingga kurang sehari atas keperluan mendesak untuk mengurus operasi pembersihan di Pasir Gudang.

“ Saya juga telah membatalkan beberapa sesi pertemuan lain ketika sesi lawatan kerja, namun beberapa mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan terpaksa dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Osman mendapat kecaman daripada pelbagai pihak kerana melakukan lawatan berkenaan semasa isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang itu dilihat masih belum selesai. 

Osman berkata sepanjang berada di Batam, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana sentiasa berhubung dengannya setiap jam untuk memastikan segala keperluan dan operasi mengawal bencana terus berjalan lancar dan teratur.

“Saya amat berterima kasih kepada semua kakitangan dan agensi yang gigih berkerja 24 jam tanpa henti bagi mengurus dan mengawal operasi bencana ini.

“Terima kasih juga kepada Wali Kota Batam Muhammad Rudi kerana memahami sebab mengapa beberapa sesi lawatan dan mesyuarat terpaksa dibatal dan dipendekkan kerana bencana di Pasir Gudang. Malah, mereka juga melahirkan rasa sedih atas kejadian ini,” katanya.

Justeru itu beliau berharap , penjelasan ini dapat merungkai salah faham atau kekeliruan di kalangan rakyat mengenai perkara itu. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel