Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bilangan pengusaha kenaf dijangka meningkat 50 peratus


Tarikh kemaskini: 17/03/2019





JASIN, 17 Mac (Bernama) -- Bilangan pengusaha tanaman kenaf  di seluruh negara dijangka meningkat 50 peratus lagi daripada jumlah 1,200 yang ada sekarang, kata Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata jangkaan  itu berdasarkan kepada potensi besar penanaman komoditi itu dalam aplikasi komersil pelbagai industri termasuk bahan mentah alternatif kepada industri berasaskan biokomposit, perabot, pembinaan dan automotif.

Katanya sehubungan itu, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sentiasa komited mendidik masyarakat dengan menyalurkan maklumat tepat mengenai industri itu yang mana boleh menjana pendapatan lumayan selain memiliki potensi pada masa depan.

"Kita jangkakan dapat menarik minat lebih ramai golongan terutama petani dan belia bagi mengusahakan tanaman kenaf yang mana kini mendapat sambutan menggalakkan di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, dan Perlis.

"Oleh itu, kita mahu mengembangkan lagi penanaman ini di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan beberapa lokasi mengikut kesesuaian tanah berikutan asas bagi mengusahakan tanaman kenaf adalah di kawasan landai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Bicara Kenaf dan Tembakau Negara serta Majlis Menabur Benih Kenaf bersama Timbalan Menteri Industri Utama, di kawasan seluas 8.5 hektar di Kampung Sempang Pantai, Merlimau di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) LKTN, Idris Mohd Salleh.

Shamsul Iskandar berkata pihak kementeriannya turut mempelawa pelabur tempatan dan asing bagi menjalin kerjasama dengan LKTN dalam membangunkan industri kenaf yang mempunyai pasaran besar di dalam serta luar negara.

"Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi menggalakkan pembangunan industri kenaf agar pekebun kecil yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar dapat menjana pendapatan secara  konsisten," katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan cadangan kerajaan negeri Melaka yang mahu membangunkan industri berasaskan koko di Pulau Besar di sini sebagai idea bernas bagi penjenamaan produk pelancongan baharu di pulau tersebut. 

"Kerajaan melalui Lembaga Koko Malaysia sedia bekerjasama untuk membantu namun perlu mengenal pasti dari segi logistik bersepadu dan seterusnya menyusun pelan tindakan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel