Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

143 orang masih terima rawatan di wad akibat pencemaran sisa kimia


Tarikh kemaskini: 17/03/2019





JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Seramai 143 orang yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang masih menerima rawatan di wad hospital, setakat tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata kesemua mereka termasuk 36 orang yang dirujuk di hospital luar daerah ini dan 29 orang di hospital luar negeri Johor.

"Setakat 12 malam tadi, tujuh pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil. 

"Jumlah pesakit yang dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai pula adalah seramai 108 orang," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Dr Sahruddin, dalam pada itu, berkata seluas 1.3 kilometer (km) daripada 1.5 km kawasan tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan setakat 4 petang semalam. 

Beliau berkata kerja pembersihan berjalan lancar setakat ini dengan kerja dilakukan tanpa henti sejak dimulakan Rabu lepas. 

"Baki 200 meter lagi akan diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya satu hingga dua hari akan datang," katanya.

Beliau berkata sebanyak 550 metrik tan tanah dan enap cemar serta 700 metrik tan air tercemar sudah dikumpulkan setakat 4 petang semalam.

Katanya, orang ramai terus dinasihati supaya tidak menghampiri kawasan kejadian selain dalam masa sama mengambil langkah pencegahan dengan mengurangkan aktiviti luar.

Sehingga kini, institusi pendidikan di Pasir Gudang masih lagi tidak beroperasi dan hanya akan memulakan sesi pembelajaran setelah diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa, katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel