Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan teliti keseriusan pencemaran Sungai Kim Kim – TPM


Tarikh kemaskini: 14/03/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti tahap keseriusan pencemaran udara akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim sebelum membuat keputusan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata tinjauan akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah itu.

“Kita akan bermesyuarat dahulu untuk kita fikirkan kerana kita juga ada langkah-langkah (selain pengisytiharan darurat) yang boleh kita tangani masalah itu...Mengisytiharkan (darurat) itu menjadikan ‘panic attack’.

“Masalahnya adalah untuk mengenal pasti punca kejadian ini, kita buat langkah-langkah untuk masa ini dan tindakan jangka pendek serta panjang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kes itu masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan beliau akan ke Pasir Gudang hari ini untuk meninjau keadaan semasa.

Anggota Parlimen Pandan itu berkata kerajaan akan mengambil apa jua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar kawasan berkenaan terutama kanak-kanak terpelihara.

Setakat ini, seramai 947 orang menerima rawatan termasuk 82 individu dirawat di wad Hospital Sultan Ismail (HSI); 85 orang di wad Hospital Sultanah Aminah; 39 orang (wad KPJ Pasir Gudang), tiga orang (wad Regency Hospital) dan lapan orang (Unit Rawatan Rapi HSI).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel