Bacaan kualiti udara di Pasir Gudang pada tahap normal
Tarikh kemaskini: 14/03/2019

JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) -- Kebanyakan kawasan di Pasir Gudang ketika ini masih mencatat bacaan kualiti udara pada tahap normal, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal.
Bagaimanapun, bacaan itu boleh berubah mengikut keadaan cuaca termasuk mengambil kira faktor hujan.
“Setakat ini, ianya normal. Insya-Allah, nanti akan ada bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kimia Johor untuk membantu pihak kita memantau kualiti udara di Pasir Gudang.
“Dengan itu, kita boleh memberitahu orang awam mengenai keadaan semasa (kualiti udara),” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri di Menara Aqabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan sama ada tahap kualiti udara di Pasir Gudang masih lagi baik selepas dicemar pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim pada Khamis lepas.
Kejadian yang bermula 7 Mac itu sehingga 8 malam tadi telah menyebabkan seramai 947 orang awam dirawat di hospital sementara 111 buah sekolah dalam Pasir Gudang ditutup serta-merta bagi mengelakkan lebih ramai pelajar terjejas.
-- BERNAMA
|