Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pendakwaan ke atas suspek buang sisa kimia belum dapat dilakukan


Tarikh kemaskini: 14/03/2019





JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) -- Pendakwaan ke atas seorang pengusaha kilang tayar kitar semula yang dipercayai membuang sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, belum dapat dilakukan  hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, pendakwaan belum dapat dilakukan berikutan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu melengkapkan kertas siasatan.

"Kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pihak JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut.

"Pendakwaan masih belum lagi dapat dilakukan sehingga mendapatkan arahan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di perkarangan mahkamah, di sini, seawal 7 pagi tadi, untuk membuat liputan mengenai pendakwaan kes tersebut.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian itu diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Dr Sahruddin Jamal menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan lagi isu pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sekali gus berhenti menyebarkan berita tidak benar mengenainya.

Beliau  turut meminta mereka  terus berdoa supaya kejadian itu berjaya diatasi dengan baik, dan beliau sendiri akan terus bekerja untuk rakyat Johor.

"Berhentilah menangguk di air yang keruh. Janganlah mengeruhkan lagi keadaan dalam ujian yang kita semua kena hadapi di Pasir Gudang sekarang ini," katanya menerusi catatan dalam laman Facebook beliau, yang dimuat naik, malam tadi.

Dr Sahruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata beliau masih ingat kejadian banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 yang mana semua pihak bersatu padu sebagai rakyat Malaysia berdoa dan menghulurkan bantuan ke sana.

"Waktu itu tidak ada taruhan politik lagi. Bantuan dihulurkan tanpa mengira bendera parti. Waktu itu tidak ada PAS, UMNO atau DAP. Semuanya bersatu atas semangat negara bangsa. Ini common sense. Semangat kemanusiaan," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel