Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Teliti keperluan wujud porter, jurupandu di Bohey Dulang


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





SEMPORNA, 13 Mac (Bernama) -- Pengurusan Taman Taman Sabah akan meneliti keperluan mewujudkan porter atau jurupandu untuk mengiringi pendaki ke puncak Pulau Bohey Dulang di Semporna.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman Taman Sabah, Mohd Amin Abd Mem berkata kajian dibuat mengambil kira tugas yang sama seperti malim gunung yang membawa pendaki ke puncak Gunung Kinabalu.

"Jika kita bandingkan bilangan pendaki ke puncak Bohey Dulang pada masa ini adalah tiga kali ganda daripada bilangan pendaki yang dibenarkan ke puncak Gunung Kinabalu iaitu seramai 135 orang sehari.

“Ketika ini seramai 250 malim gunung serta 100 porter berdaftar dengan Taman Taman Sabah dan melaksanakan tugas mengiringi, menjaga keselamatan selain membawa barang keperluan pendaki ke puncak Gunung Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pembersihan dasar laut dan pantai Taman Marin Tun Sakaran di sini.

Pulau Bohey Dulang, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari pekan Semporna, merupakan antara lapan pulau yang diwartakan di bawah Taman Marin Tun Sakaran dan keistimewaannya ialah puncaknya yang menawarkan pemandangan mengagumkan.

Mohd Amin berkata Bohey Dulang menerima antara 300 hingga 700 pengunjung sehari yang kebanyakannya dari China.

Beliau berkata pewujudan petugas seperti malim gunung di Bohey Dulang akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

"Sama seperti penglibatan komuniti tempatan sekitar Taman Kinabalu menjadi malim gunung dapat meningkatkan sumber pendapatan penduduk.

"Bilangan maksimum pendaki yang dibawa oleh malim gunung adalah lima orang dengan kadar upah RM230 seorang untuk pendakian dua hari, satu malam,” katanya.

Menurutnya, konsep pengurusan pendakian Gunung Kinabalu yang melibatkan komuniti tempatan sebagai malim gunung atau jurupandu, merupakan pengurusan terbaik bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Semalam, satu laluan baharu dibuka kepada pengunjung untuk mendaki sejauh 700 meter ke puncak Bohey Dulang.

Sementara itu, seorang pengusaha pelancongan tempatan, yang dikenali sebagai Uncle Chang, menyambut baik idea tersebut dan cadangan itu bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Semporna.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel