Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sisa kimia: Sekurang-kurangnya 20 pelajar lagi dirawat


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 20 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dibawa ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang untuk rawatan kerana mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai susulan pencemaran sisa kimia.

Tinjauan Bernama di dewan itu mendapati kesemua pelajar berkenaan tiba dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat, kira-kira 10.30 pagi ini.

Bagaimanapun, maklumat tepat mengenai jumlah pelajar dan sekolah terlibat belum disahkan dan pihak media kini menunggu maklumat rasmi daripada pihak bertanggungjawab.

Dewan Komuniti Taman Pasir Putih mula dibuka sejak Ahad lepas bagi memberi rawatan awal kepada orang ramai yang mengalami sesak nafas, loya atau muntah sebelum mereka yang memerlukan rawatan lanjut dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Setakat 11 pagi ini, perkarangan dewan dibanjiri ibu bapa pelajar terlibat bagi mendapatkan maklumat tahap kesihatan terkini anak mereka dan sehingga kini kebanyakan mereka masih menunggu maklumat lanjut mengenai tahap kesihatan anak yang menerima rawatan awal di dewan berkenaan dari pihak kesihatan dan pihak berkuasa.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin, menerusi kenyataan berkata,13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan ditetapkan, dipercayai ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Kerajaan Negeri Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa itu yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku. 

Seorang suri rumah, Aida Abdullah, 40, berkata dia dimaklumkan anak perempuannya, Nur Alisa Alia Mohd Amir, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, Pasir Gudang mengalami sesak nafas, letih dan muntah, menerusi kumpulan WhatsApp sekolah, kira-kira 10 pagi tadi.

"Saya terus bergegas ke sekolah, namun, dimaklumkan anak saya sudah dibawa ke dewan ini.  Setakat ini saya belum lagi melihat keadaan anak saya," katanya yang tinggal di Jalan Kelisa, Taman Scientex.

Aida turut mengakui terdapat bau tidak menyenangkan dialaminya di kawasan rumah, semalam, namun, tidak menjejaskan mereka sekeluarga.

"Pagi tadi juga anak saya sihat sahaja dan pergi ke sekolah seperti biasa sehinggalah saya dimaklumkan mengenai kejadian ini," katanya.

Lega Anak Galang, 58, dari Jalan Kijang, perumahan sama berkata dia menerima panggilan dari pihak sekolah sama memaklumkan anaknya, Naziralida, 16, turut mengalami simptom sama.

"Saya masih belum berjumpa anak saya… saya berdoa keadaannya baik," katanya yang menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah dan bergegas ke dewan berkenaan bersama isteri.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat SMK Taman Scientex, Aida Mohd Fazli, 16, yang ditemui di kawasan itu berkata dia mengalami pedih mata ketika berada di dalam kelas, pagi ini.

"Sekarang saya sudah berasa okay. Doktor yang merawat mengesahkan saya tidak mengalami sakit yang serius dan boleh pulang ke rumah untuk rehat secukupnya," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel