Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

13 suspek edar dan salah guna dadah diberkas di Miri


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





MIRI, 13 Mac (Bernama) -- Seramai 13 warga tempatan termasuk enam disyaki pengedar dadah diberkas dalam tiga operasi yang dijalankan di sekitar bandar raya ini selama dua hari sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata operasi yang dijalankan oleh JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak itu turut menyaksikan rampasan dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM15,000 serta harta benda termasuk dua kenderaan dengan nilai RM49,000.

Dalam serbuan pertama pada 1 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Padang Kerbau, polis menahan empat lelaki yang disyaki pengedar dadah serta merampas dadah jenis syabu seberat 18.98 gram bernilai RM2,847 daripada suspek yang tiga daripada mereka turut positif dadah.  

"Kumpulan ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal 2018," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sahar berkata setengah jam selepas operasi pertama, pasukan sama menyerbu sebuah rumah dan menahan tujuh lelaki yang kesemuanya didapati positif dadah. 

Beliau berkata operasi ketiga dilakukan semalam dan polis menahan dua lelaki, masing-masing dari Perak serta Selangor, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12,517.60.

"Suspek pertama ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Datuk Temenggung Oyong Lawai manakala suspek kedua yang bertanggungjawab mengutip wang hasil jualan dadah ditahan di sebuah apartmen di Tanjung Lobang.

"Kedua-dua suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan disyaki mula mengedar dadah sejak awal 2018,” katanya.

Menurutnya kesemua 13 suspek yang berusia 32 hingga 50 tahun terbabit disiasat menurut pelbagai seksyen termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel