Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembinaan HUMS ikut jadual


Tarikh kemaskini: 12/03/2019





KOTA KINABALU, 12 Mac (Bernama) -- Projek Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) kini sedang dalam pembangunan dan mencatat kemajuan memberangsangkan apabila pembinaannya mengikut jadual ditetapkan, kata Naib Canselor UMS Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

“Kerja-kerja pembinaan HUMS berjalan secara normal dan tidak ada sebarang penangguhan dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kemajuan hospital pengajar itu di sini, hari ini.

Projek pembangunan HUMS yang boleh memuatkan 400 katil pesakit, 25 dewan pembedahan, 12 unit bersalin dan pelbagai lagi kemudahan infrastruktur terkini dilancarkan pada Mac tahun lepas dengan kos berjumlah RM652 juta yang dijangka siap pada 2021.

Berkeluasan 110,853 meter persegi, hospital pengajar itu akan menerapkan konsep hospital pintar dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan perubatan serta perkhidmatan kesihatan di Sabah.

D Kamarudin berkata komitmen itu adalah satu inisiatif terbaik memandangkan penggunaan Teknologi, Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada masa ini sangat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik dan lancar kepada rakyat Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengunaan ICT dan peralatan perubatan canggih perlu seiring dengan memastikan tadbir urus terbaik serta tenaga pakar mencukupi ke arah merealisasikan konsep hospital pintar itu tercapai.

Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, sistem teknologi pintar termasuk peralatan perubatan canggih diterapkan di HUMS akan dikembangkan ke hospital kerajaan di Sabah bagi menambah baik perkhidmatan sedia ada ke arah meningkatkan lagi taraf kesihatan penduduk.

HUMS juga dilihat berpotensi membangunkan sektor pelancongan perubatan di Sabah menerusi penyediaan infrastruktur serta perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik, katanya.

Wong berkata pembinaan hospital pintar berkenaan juga diharap menjadi platform dalam menambah lebih ramai pakar perubatan di Sabah memandangkan negeri ini tidak mempunyai tenaga pakar mencukupi.

Terdahulu, Kamarudin dan Wong menghadiri majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Health4U Solution Sdn Bhd.

Kamarudin mewakili UMS dan JKNS diwakili Pengarah Kesihatan Datuk Dr Christina Rundi, manakala  Health4U Solution Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chevy Beh dan majlis itu disaksikan Wong.

MoA yang ditandatangani itu merupakan lanjutan tujuh tahun lagi bagi program doktor perubatan dan pascasiswazah, manakala lima tahun untuk diploma kejururawatan bagi menjalani latihan klinik, dan menjalankan aktiviti penyelidikan bagi pelajar pascasiswazah bagi program sarjana kesihatan awam dan doktor kesihatan awam.

Kerjasama itu dilihat mampu membuka lebih banyak dimensi baharu dalam sistem perkhidmatan kesihatan dan sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran di peringkat universiti.

Bagi MoU pula, Health4U berperanan sebagai sebuah syarikat membangunkan BookDoc, aplikasi menggunakan telefon mudah alih sebagai platform menghubungkan pesakit dengan penyedia penjagaan kesihatan seperti hospital dan klinik.

Aplikasi itu membolehkan pesakit mencari doktor terdekat dan membuat temu janji secara dalam talian.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     

Program 'Anak Kami' PPIM bantu bayi tidak sah taraf dapat keluarga angkat

 
     

Kadar perceraian di Selangor menurun sejak 2016 - Ketua Hakim Syarie Negeri

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel