Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perjanjian air: Singapura terima subsidi air RM2.4 bilion sejak 1962


Tarikh kemaskini: 12/03/2019





KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) --  Berdasarkan harga jualan air ke Singapura menurut perjanjian 1962, negara jiran itu boleh dikatakan telah menerima subsidi sekurang-kurangya berjumlah RM2.4 billion sehingga ini, iaitu sebanyak RM42 juta setahun atau kira-kira RM100,000 sehari, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

“Kalau nak dikira subsidi yang kita berikan kepada Singapura, sebenarnya perkara ini memang berlaku. Kita jual dengan harga yang begitu murah, tetapi beli dengan harga yang mahal,” kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah ketika  menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) sama ada wujud elemen subsidi dalam perjanjian itu.

Dalam pada itu, Saifuddin juga membidas Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan yang telah mengkritik tindakan Malaysia di Parlimen Singapura apabila mengatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai hak untuk menilai semula perjanjian itu setelah tempoh 25 tahun.

“Klausa 14 perjanjian menyatakan ‘it shall be subject to review after the expiry of 25 years from the date of these presents..’, bukannya at the 25th year.

“Jadi saya tidak faham Bahasa Inggeris mana yang diguna oleh Menteri Luar Singapura yang membuat taksiran begitu. Kita hormati perjanjian, sebab itu kita kata boleh review perjanjian selepas 25 tahun,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), Saifuddin berkata Malaysia bersedia merujuk kes itu ke mahkamah timbangtara antarbangsa jika usaha di meja rundingan tidak berhasil. 

Isu penjualan air mentah kepada Singapura kembali hangat tahun lepas apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai tidak masuk akal dan beliau bercadang merundingkan semula terma perjanjian itu.

Lanjutan itu, Peguam Negara kedua-dua negara juga dilaporkan telah memulakan rundingan.

“Kita seharusnya telah masuk ke peringkat kedua di mana kita melihat kepada modaliti harga dan apakah tempoh masa bagi modaliti harga dan perkara berkaitan boleh dicapai,” kata Saifuddin. 

 Perjanjian yang akan berakhir pada 2061 itu memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.

Singapura hanya membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini, sebagai lanjutan jawapan soalan lisan Wan Junaidi sama ada wujud elemen subsidi dalam perjanjian 1962 di Parlimen hari ini, Saifuddin berkata kenyataan Menteri Luar Singapura di sidang Parlimen Singapura pada 1 Mac 2019 tidak menggambarkan persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua negara sebelum ini.

Malah, beliau mengkritik dan membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia, kata Saifuddin.

Katanya antara tuduhan-tuduhan itu termasuk Malaysia tidak menghormati Perjanjian 1962 dan Malaysia telah kehilangan hak untuk menyemak semula harga air mentah setelah tidak berbuat demikian pada 1987.

Bagi menjawab tuduhan itu, Saifuddin berkata Malaysia sentiasa menghormati dan tidak pernah melanggar terma-terma dalam perjanjian itu. Kerajaan Malaysia sekadar menyatakan yang ia mempunyai hak untuk semakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura, selepas 25 tahun perjanjian 1962 berkuat kuasa.

“Hak Malaysia tidak boleh dipertikaikan. Klausa 14 Perjanjian itu jelas memperuntukkan bahawa ia boleh dikaji semula pada hari ini, dan tidak hanya pada tahun 1987, kerana klausa itu menyatakan...shall be subject to review AFTER the expiry of 25 years from the date of these presents..”, Perkataan “AFTER” di dalam klausa ini bermakna “SELEPAS” dan bukannya “SEMASA”.

Saifuddin berkata antara tuduhan lain, Singapura menyatakan berdasarkan prinsip ‘goodwill’, mereka telah menjual air terawat lebih daripada kelayakan Malaysia di bawah Perjanjian tersebut berjumlah 16 juta gelen sehari pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen yang merupakan satu subsidi merugikan kerajaan Singapura.

Mengenai perkara itu, Saifuddin berkata sebenarnya, pihak Malaysia yang selama ini memberikan  subsidi kepada Singapura dengan menjual air mentah sebanyak 250 gelen sehari dengan kadar hanya 3 sen (SGD 1 sen) sahaja bagi setiap 1,000 gelen. Subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada  Singapura sejak 1962 mencecah berbilion ringgit. Ini tidak termasuk bekalan air mentah percuma yang diberikan kepada Singapura dari tahun 1927 hingga 1961.

Katanya Singapura juga membuat tuduhan dengan menyatakan pihaknya membuat pelaburan yang tinggi di Johor bagi pembinaan dan operasi Empangan Linggiu dan ini memberi manfaat kepada Johor.

Menjawab tuduhan ini, Saifuddin berkata tujuan utama pembinaan empangan ini dibina oleh Singapura adalah bagi memastikan kepentingannya untuk mengabstrak 250 juta gelen sehari air mentah dari Sungai Johor di bawah Perjanjian 1962 dilindungi.

Katanya jumlah pelaburan ini adalah amat kecil berbanding keuntungan yang dikaut Singapura melalui pembelian air mentah dengan kadar yang amat murah.

“Malah, Singapura juga mendapat manfaat langsung daripada pelaburan Malaysia seperti pembinaan baraj Sungai Johor yang mencecah jutaan ringgit. Ini tidak termasuk kos-kos lain yang ditanggung kerajaan Malaysia untuk memastikan bekalan air yang mencukupi di Sungai Johor,” kata Saifuddin.

Beliau juga berkata menteri luar republik itu telah membuat kenyataan yang memberikan gambaran negatif terhadap pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Berhubung perkara ini, Saifuddin berkata kenyataan negatif dan tidak berasas ini tidak  menggambarkan Singapura sebagai jiran yang baik dan tidak mencerminkan komitmen  Singapura untuk memelihara jalinan hubungan dua hala antara kedua-dua negara berdasarkan prinsip saling menghormati dan kesaksamaan.

Katanya Malaysia sekadar menuntut haknya yang sah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian itu.

Saifuddin berkata Malaysia tetap berpegang teguh dengan prinsip jalinan persahabatan yang baik dengan semua negara, termasuk Singapura. Walaupun dikritik dengan cara yang tidak adil, Malaysia akan tetap mencari penyelesaian bersama terhadap isu ini melalui perbincangan dan proses rundingan.

"Walau bagaimanapun, sekiranya Singapura tetap enggan menyelesaikan isu melalui rundingan, Malaysia bersedia untuk membawa perkara ini ke proses timbang tara yang juga diperuntukkan dalam Perjanjian 1962," katanya.

Kerajaan Malaysia, katanya, tidak akan mengalah dan akan terus menuntut haknya di bawah Perjanjian Air 1962 dan mencari penyelesaian yang adil untuk rakyat Malaysia. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel