Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jumlah mangsa alami sesak nafas, loya hari ini 260 orang


Tarikh kemaskini: 12/03/2019





JOHOR BAHRU, 12 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa yang mengalami sesak nafas, loya dan muntah yang dirawat di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini, hari ini mencecah 260 orang termasuk pelajar dua sekolah dan orang awam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata kesemua pelajar itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat mangsa yang dirawat di dewan berkenaan, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung kejadian tersebut termasuk jumlah pecahan mangsa terlibat.

"Oleh kerana sekarang ia (kejadian) melibatkan peringkat negeri… Saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut," katanya yang ditemui pemberita di dewan berkenaan.

Pagi tadi, pelajar SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort mengalami simptom sama dengan dua sekolah ditutup sebelum ini iaitu SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih, di mana pelajarnya mengalami sesak nafas, loya dan muntah ketika di sekolah.  

Selain Dr Sahruddin, turut kelihatan di dewan berkenaan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Yahaya Madis, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz, namun, kesemuanya turut enggan memberi sebarang kenyataan.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Mohd Asri Abdul Kadir, berkata keadaan murid mengalami sesak nafas, loya dan muntah dianggar berlaku kira-kira 9.45 pagi, sebelum waktu rehat.

Katanya, sesi pengajaran dan pembelajaran sekolah memiliki 857 murid itu berjalan seperti biasa malah udara juga dalam keadaan baik.

Bila kejadian itu berlaku beliau mengarahkan mereka dibawa ke bilik rawatan sekolah.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Asri berkata tiada murid dilaporkan pengsan dan beliau kemudian mengarahkan semua murid berkumpul di kawasan dataran sekolah tersebut bagi memastikan mereka selamat sebelum melakukan tindakan susulan.

Beliau berkata murid yang mengalami sesak nafas, loya dan muntah kemudian silih berganti dibawa ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih menaiki ambulan kira-kira 10 pagi hingga 11.30 pagi bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, sejurus kejadian, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) datang ke sekolah itu bagi meninjau kualiti udara dan mendapati tiada pencemaran sekali gus mengesahkan kejadian dialami murid mungkin berpunca daripada tiupan angin.

"Anggota balai bomba dan penyelamat kemudian mengarahkan penutupan sekolah dan kakitangan dan murid pulang ke rumah pada 11.15 pagi," katanya.

Sementara itu, selain murid SK Tanjung Puteri Resort, kejadian sesak nafas, loya dan muntah berkenaan turut melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.

Salah seorang pelajar, Alya Mahirah Ahmad Syirajudin, 15, yang ditemui di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih berkata dia mula menghidu bau kurang menyenangkan sejak 9 pagi tadi.

Katanya, bau berkenaan berterusan sehingga menyebabkan dia dan beberapa rakan turut sesak nafas lalu dihantar ke dewan tersebut.

Seorang lagi pelajar sekolah sama, Adiputra Rosli, 13, berkata dia berasa ingin muntah ketika hendak pulang ke rumah selepas sekolah diarahkan tutup.

"Ketika berjalan balik, saya berasa hendak muntah dan ketika itu bomba bertanyakan kesihatan saya lalu kemudian saya dibawa menaiki ambulan ke dewan komuniti ini.

"Apabila di sini (dewan komuniti) saya rasa keadaan saya baik kerana tidak muntah dan saya kini menunggu ibu untuk membawa saya pulang ke rumah," katanya.

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel