Yg4GOUqBBnw Pelajar mengadu sesak nafas, dua sekolah ditutup semula
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar mengadu sesak nafas, dua sekolah ditutup semula


Tarikh kemaskini: 11/03/2019





JOHOR BAHRU, 11 Mac (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih hari ini diarah tutup semula setelah beberapa pelajar mengadu sesak nafas, dipercayai akibat terhidu sisa bahan kimia.

Dua sekolah itu dibuka hari ini setelah diarah tutup sejak Khamis lepas apabila ada pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, kira-kira 500 meter dari sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal berkata kedua-dua sekolah itu akan ditutup buat sementara waktu dan statusnya akan diputuskan selepas dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana negeri.

"Setakat pukul 12.30 tengah hari ini, lapan murid dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala lebih 10 pelajar dirawat di sekolah dan dewan berdekatan," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Dewan Taman Pasir Putih, yang dijadikan pusat operasi sementara, di sini hari ini.

Dr Sahruddin turut memeriksa dan memberi rawatan awal kepada murid-murid dan pelajar yang mengalami sesak nafas.

Terdahulu, sekumpulan pemberita dan petugas media yang mengikut Dr Sahruddin dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat tinjauan di Sungai Kim Kim dikejutkan dengan keadaan kecoh di kedua-dua sekolah berkenaan apabila ramai pelajar mengadu sesak nafas, loya dan muntah-muntah.

Ditanya sama ada punca kejadian dikaitkan dengan pencemaran udara, Dr Sahruddin berkata pelbagai faktor boleh mempengaruhi keadaan itu, bagaimanapun punca sebenar belum dikenal pasti.

"Sebelum ini JAS dan Hazmat (Bomba) sudah membuat penilaian dan sahkan keadaan selamat, itu sebab kita buka sekolah...tapi pihak sekolah hubungi kami (pihak berkuasa) dan mendakwa ada pelajar mempunyai simptom sesak nafas dan sebagainya," katanya.

Dr Sahruddin berkata kontraktor telah dilantik untuk membersihkan sisa kimia di sungai itu dan kerja pembersihan yang dijadual bermula hari ini dijangka mengambil masa lima hari meliputi kawasan sungai sepanjang 1.3 kilometer.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberi jaminan pihak kementerian akan terus memantau perkembangan kes keracunan gas metana di dua sekolah di kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang itu hingga kes selesai.

Beliau berkata kementerian juga komited menjalankan kerja-kerja pembersihan terhadap kedua-dua sekolah itu bagi memastikan sekolah benar-benar selamat untuk pelajar kembali ke sekolah.

"Kami terima laporan secara langsung setiap jam dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan semua agensi yang terlibat antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan bomba bagi mengikuti rapat perkembangan kes ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Seri Kembangan, hari ini.

Khamis lepas media melaporkan 1,400 pelajar dari kedua-dua sekolah itu diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan berikutan terhidu bau gas yang dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel