Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pencemaran bahan kimia: Dua sekolah masih ditutup esok


Tarikh kemaskini: 09/03/2019





JOHOR BAHRU, 9 Mac (Bernama) -- Dua sekolah di Pasir Gudang yang ditutup selepas pelajarnya terhidu gas kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim, belum dibenarkan untuk dibuka esok.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih itu akan dibuka semula pada Isnin (11 Mac) selepas kerja pembersihan sepenuhnya dilakukan.

"Dimaklumkan bahawa satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bantuan Bencana Tumpahan Sisa Kimia Di Sungai Kim Kim Pasir Gudang, Johor Bahru, telah diadakan pada hari ini oleh pihak berkuasa melibatkan semua agensi kerajaan berkaitan.

"Berdasarkan maklum balas pelbagai jabatan dan agensi, adalah disyorkan SK Pasir Puteh dan SMK Pasir Putih ditutup pada hari esok, Ahad (10 Mac) bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan sepenuhnya dibuat oleh pihak sekolah dan sekolah dibuka semula bagi tujuan pembelajaran pada hari Isnin (11 Mac)," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersetuju dengan syor berkenaan dan sudah membuat makluman kepada Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang serta dua sekolah tersebut untuk mengambil tindakan susulan pemakluman kepada guru-guru, ibu bapa, penjaga dan murid-murid, berkenaan penutupan itu.

Beliau berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi terlibat, ibu bapa serta seluruh masyarakat yang membantu menangani isu bencana melibatkan kedua-dua sekolah tersebut.

Dua hari lepas, seramai 1,400 pelajar SMK Pasir Putih dan SK Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah selepas terdapat pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai dari bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Setakat 9.30 malam tadi, jumlah mangsa terhidu gas berkenaan direkodkan seramai 79 orang termasuk pelajar dan penduduk sekitar dengan 32 daripadanya dirawat sebagai pesakit luar manakala 47 lagi dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel