Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPM tahan dalang seludup migran di Tawau


Tarikh kemaskini: 08/03/2019





TAWAU, 8 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menyelamatkan tujuh individu mangsa pemerdagangan manusia di perkampungan air, Batu 4 di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 30-an disyaki menjadi dalang penyeludupan migran turut ditahan, manakala tujuh warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita serta seorang kanak-kanak perempuan, kesemuanya berumur dua hingga 42 tahun yang dibawa suspek diselamatkan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata penyeludupan migran itu berjaya digagalkan selepas sepasukan anggota PPM menjalankan intipan berpandukan maklumat dari Unit Risikan Marin (URM) sehingga menghasilkan tangkapan.

"Operasi tersebut juga berjaya dilaksanakan atas risikan dimulakan URM dengan hasil kerjasama orang awam yang membantu menyalurkan maklumat bagi mengekang penyeludupan migran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata pihaknya mengekori bot suspek dari sempadan perairan negara dan berjaya menahan kesemuanya di perkampungan tersebut.

Berdasarkan soal siasat, katanya kesemua mangsa akan dihantar ke Kota Kinabalu untuk bekerja sebagai buruh dalam pelbagai sektor.

Mohamad Pajeri berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sebuah kereta pacuan empat roda yang digunakan dalam aktiviti tersebut, dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010).

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel