Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak, Edge Global Norway laksana projek berasaskan penghutanan semula


Tarikh kemaskini: 07/03/2019





KUCHING, 7 Mac (Bernama) – Sarawak menyasarkan untuk menjalankan projek komersial berasaskan penghutanan semula melalui kerjasama dengan Edge Global Norway AS. 

Kerajaan negeri hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat itu untuk menerajui pembangunan, pembiayaan, pelaksanaan dan operasi berasaskan penghutanan semula, projek komersial rantaian nilai bersepadu.

Di bawah MoU itu, Sarawak dan syarikat Norway itu akan membincangkan dan bekerjasama untuk melaksanakan aktiviti berkaitan projek seperti pemetaan ekosistem, kajian pelepasan asas, penilaian stok karbon dan analisis keadaan tanah untuk menentukan metodologi yang optimum bagi pemulihan hutan.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Dr Wan Lizozman Wan Omar, menandatangani MoU itu bagi Sarawak dan Edge Global Norway AS diwakili oleh rakan kongsinya Datuk Torstein Dale Sjotveit.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu, Abang Johari berkata kerajaan negeri telah mengamalkan dasar pengurusan hutan lestari untuk mengekalkan keseimbangan antara penggunaan komersial hutan dan perlindungan alam sekitar.

“Sarawak mempunyai dasar penggunaan tanah yang amat jelas dan negeri ini menyasarkan enam juta hektar bagi produk kayu yang mampan, termasuk satu juta hektar perladangan hutan perindustrian, satu juta hektar sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya, dan empat juta hektar untuk pertanian (iaitu tiga juta hektar untuk kelapa sawit dan satu juta hektar untuk tanaman lain),"  katanya.

Abang Johari berkata baki 1.4 juta hektar tanah yang lain untuk pelbagai pembangunan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memulakan perladangan hutan perindustrian sejak 1998 dengan mengeluarkan lesen untuk penanaman hutan yang meliputi 2.5 juta hektar.

"Matlamatnya ialah mengurangkan tekanan ke atas hutan semula jadi dan memastikan bekalan bahan mentah yang mampan untuk industri kayu dengan sasaran satu juta hektar untuk penanaman menjelang 2020,” katanya, sambil menambah setakat ini, sebanyak 420,146 hektar untuk penanaman.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Saya diminta letak jawatan - Bekas pegawai bank Ambank

 
     

Kerajaan lulus RM34 juta untuk sambung bina rumah kedua generasi Felcra

 
     

Najib tidak pernah tanya mengenai terlebih pengeluaran dalam akaunnya - Saksi

 
     

Rumah 20 peserta projek Mesej Abai, Kinabatangan dibina tahun ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel