Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Status kampus IPG Tawau kekal - Maszlee


Tarikh kemaskini: 07/03/2019





TAWAU, 7 Mac (Bernama) -- Status Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau akan dikekalkan melihat kepada keperluan dan sumbangannya kepada sektor pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Katanya, adalah menjadi harapan agar IPG itu akan pergi lebih jauh dan terus menyumbang kepada sektor pendidikan negara.

"IPG ini bukan hanya sehingga tahun 2020 tetapi boleh lebih lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau prasarana dan meluangkan masa bersama warga pendidik dan pelajar di kampus Politeknik dan IPG Tawau di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat ura-ura di bawah kerajaan terdahulu kononnya Kampus IPG Tawau akan ditutup.

Ketika ini, IPG Tawau dan Politeknik Tawau yang terletak di Balung, Tawau, berkongsi kampus.

Dalam pada itu Maszlee berkata tiada istilah perkongsian kampus IPG Tawau dan Politeknik Tawau sebagai daif sebaliknya perkara itu perlu dilihat sebagai satu perkongsian sumber yang bijak dan boleh dijadikan model kepada universiti awam atau swasta yang lain.

"Perkongsian (IPG dan Politeknik) ini boleh dijadikan model bahawa bersama dalam satu tempat itu tidak menjadi masalah kepada perkongsian sumber.

"Tengok pada bangunan baru ini tesergam indah, dewan ini tidak daif serta perpustakaan dalam kampus lengkap dan selesa," katanya menjawab soalan wartawan mengenai sama ada perkongsian IPG Tawau dan Politeknik Tawau alam satu kampus sebagai daif.

Sementara itu, Mazslee berkata inisiatif Politeknik Tawau menawarkan program Diploma Pengurusan Rekreasi dapat membantu melahirkan tenaga pakar dalam industri pelancongan.

"Kita juga harapkan program sedemikian dapat membantu visi kerajaan untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan yang utama," katanya dan menambah, ketika ini Program Pengurusan Pelancongan turut ditawarkan di Politeknik Tawau.

Dalam hal berkaitan penurunan kuasa autonomi pendidikan daripada kerajaan pusat kepada negeri, Maszlee berkata pihaknya masih dalam fasa perbincangan dengan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah.

"Tuntutan autonomi masih dibincang, dan rakyat Sabah bertuah kerana kerajaan negeri dan menteri pendidikan yang prihatin terhadap isu pendidikan," katanya.

Maszlee sedang melakukan lawatan kerja dua hari ke Sabah, hari ini dan esok, bagi melihat keadaan lebih 480,000 pelajar serta penempatan sekolah daif di kawasan pedalaman.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sembilan pili air awam bagi hadapi gangguan bekalan air bermula esok

 
     

Konsul Indonesia di Pulau Pinang mahu penjelasan kes Adelina

 
     

Penganjuran e-sukan menguntungkan negara

 
     

Takaful IKHLAS perkenal IWE sebagai platform peserta bantu masyarakat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel