b95jm_gm1w0 Terhidu bahan kimia dari Sungai Kimkim, 30 kini dirawat
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terhidu bahan kimia dari Sungai Kimkim, 30 kini dirawat


Tarikh kemaskini: 07/03/2019





JOHOR BAHRU, 7 Mac (Bernama) -- Jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital dan klinik kesihatan sekitar sini yang dipercayai akibat terhidu gas kimia berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kimkim, dekat Pasir Gudang awal pagi ini, meningkat kepada 30 orang setakat pukul 5.00 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata daripada jumlah itu, 21 dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), enam ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang manakala tiga lagi dirawat di Hospital Penawar, dan kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Dua mangsa di HSI diberi bantuan pernafasan untuk mencegah kejadian yang lebih buruk kerana apabila terkena bahan kimia, saluran pernafasan boleh tersumbat,” katanya.

Beliau berkata sampel pencemaran di sungai berkenaan telah pun diambil pihak HAZMAT Bomba dan JAS negeri pagi tadi untuk dianalisa.

Ketika ditanya sama ada pihaknya sudah mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab membuang sisa kimia itu, beliau berkata individu atau pihak yang berkenaan ??????masih belum dikenalpasti.

“Sekiranya sudah dikenalpasti, kita akan mengambil tindakan undang-undang mengikut akta yang bersesuaian kerana ini merupakan pencemaran bahan kimia dari sisa buangan berjadual,” katanya.

Dr Sahruddin berkata mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM500K dan penjara tidak melebihi lima tahun.

Beliau berkata penduduk Kampung Bukit Pulai dan Ladang Tong Heng Lama yang tinggal berhampiran sungai itu juga diminta peka dengan perubahan kesihatan masing-masing kerana terdapat kemungkinanan mereka turut terdedah dengan pencemaran itu.

“Bahan kimia ini sentiasa bergerak dalam air, jadi terdapat kemungkinan mereka turut terdedah. Sekiranya mengalami simptom seperti sesak nafas, batuk dan mata merah, segeralah dapatkan rawatan di klinik berdekatan,” katanya.

Selain itu, makluman juga diberikan kepada penduduk Kampung Pinggiran Acheh supaya tidak menjalankan aktiviti perikanan. 

Terdahulu ketika ditemui selepas melawat pusat operasi di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Puteh, dekat Pasir Gudang di sini, Dr Sahruddin berkata buat masa ini, keadaan sudah terkawal, dan bau semakin berkurangan, namun beliau meminta jika ada penduduk yang mengesan simptom seperti loya, sakit tekak dan sebagainya, supaya cepat-cepat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel