Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kompleks Sukan Belia dan Sukan Negeri Melaka dinaik taraf


Tarikh kemaskini: 05/03/2019





MELAKA, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan RM7.6 juta bagi menaik taraf pelbagai fasiliti dan kemudahan di Kompleks Belia dan Sukan negeri Melaka di Ayer Keroh di sini, kata Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata kerja-kerja menaik taraf itu akan dilakukan secara berperingkat bermula bulan ini dan fasiliti serta kemudahan yang terlibat termasuklah dewan besar, dewan tertutup, gimnasium, hostel, dewan kuliah, surau, gelanggang futsal, gelanggang tenis dan gelanggang pentaque. 

“Kita sering menerima aduan tentang keusangan fasiliti sukan di negeri ini. Pemantauan atas fasiliti sukan juga sering dijalankan pasukan dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Perbadanan Stadium Melaka serta Majlis Sukan Negeri.

“Dalam sesi perbincangan dengan persatuan sukan di negeri Melaka, isu-isu keperluan naik taraf dan penyelenggaraan juga sering dibangkitkan. Namun berdasarkan kemampuan kewangan semasa kerajaan negeri, kerja menaik taraf fasiliti sukan hanya boleh dijalankan secara berperingkat," katanya, di sini.

Kerk yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh berkata kompleks berkenaan telah menghentikan penerimaan tempahan penggunaan fasiliti di dalam kawasan itu sejak Jumaat lepas, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf yang dijangka mengambil masa selama kira-kira 18 bulan. 

"Pihak kami bersama dengan jabatan di bawah portfolio belia dan sukan negeri Melaka akan terus berusaha meningkatkan kualiti fasiliti dan kemudahan sukan di negeri ini untuk mengukuhkan lagi pencapaian atlet di Melaka," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel