Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Calon-calon semakin rancak berkempen ketika PRK Semenyih semakin hampir


Tarikh kemaskini: 27/02/2019





SEMENYIH, 27 Feb (Bernama) -- Calon-calon pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih semakin rancak berkempen tanpa mengenal penat untuk mendekati penduduk di segenap ceruk dan pelosok kawasan dewan undangan negeri ini dalam usaha meraih sokongan sebelum hari mengundi Sabtu ini.

Selain pendekatan bersemuka, mereka menggunakan kenderaan bermobil dalam berkempen untuk menembusi kawasan-kawasan yang disasarkan dengan mengadakan ceramah atau perjumpaan bagi menyampaikan mesej kepada pengundi dan kerancakan kempen ini jelas dapat dilihat sejak beberapa hari lepas.

Kempen selama dua minggu itu diwarnai dengan kehadiran “top-gun” dari kedua-dua parti yang menyaksikan persaingan sengit. Bagaimanapun, pertembungan sebenar pada PRK kali ini hanyalah antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO.

PH contohnya telah membariskan pengerusi gabungan itu merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk acara 'ceramah perdana' yang dijadualkan pada malam Khamis di Taman Pelangi di sini untuk meraih sokongan bagi calonnya, Muhammad Aiman Zainali, 30.

Dalam pada itu, parti lawan, UMNO yang kali ini bekerjasama dengan PAS akan menganjurkan satu ceramah politik esok di sini yang menampilkan “top-gun” mereka.

Muhammad Aiman, yang juga bendahari Bersatu Bahagian Hulu Langat berkata sokongan rakyat kepada beliau dan PH nampak amat memberangsangkan dan positif.

"Baki dua hari kempen ini, fokus kita untuk berkempen habis-habisan...kita akan turun ke semua kampung, flat-flat (perumahan) dan pasar-pasar (kawasan tumpuan awam) dan kita mahu berjumpa seramai mungkin pengundi dan itulah matlamat kita," katanya.

Calon PH mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Timbalan presiden PH merangkap pesiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak henti-henti berkempen untuk PH dan Muhammad Aiman sejak hari pertama.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertarungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, calon Barisan Nasiona (BN) Zakaria Hanafi, Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon bebas Kuan Chee Heng.

Ketika ditanya sejauh manakah keyakinan beliau untuk memenangi PRK ini, Zakaria berkata beliau menyerahkan kepada pengundi untuk menentukannya.

“Kita berikan penerangan terbaik, (pengundi) menilai sejauh mana, Itu yang mampu kita beri,” katanya.

Penganalisis politik Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat ketika ini bahawa peluang PH dan BN untuk memenangi PRK DUN Semenyih adalah 50-50.

 Menurutnya, kempen PRK itu banyak berkisar tentang soal pembangunan setempat dan kritikan terhadap kerajaan selain dihiasi dengan serangan peribadi serta ada yang membangkitkan isu kaum dan agama. 

"Isu-isu perkauman dan agama ini akan memberi kesan namun ada pihak lain yang ingin melihat isu ekonomi dan pembangunan (diperkatakan) dalam membuat keputusan," katanya.

Dalam pada itu, calon PSM, Nik Aziz Afiq berkata berbaki beberapa hari lagi tempoh berkempen, pihaknya akan terus bekerja keras menembusi kawasan yang dipagari penyokong PH dan BN. 

Menurutnya, walaupun pihak lawan mengemukakan pemimpin-pemimpin ‘top gun’ dalam kempen masing-masing, namun akhirnya rakyat Semenyih yang harus membuat keputusan yang ada hubung kait dengan kehidupan mereka di sini.

Bagi Kuan, seorang aktivis sosial, menang atau kalah beliau akan tetap meneruskan kerja kebajikan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu akibat serangan jantungt. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel