Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peluang cerah PH menang PRK DUN Semenyih - penganalisis


Tarikh kemaskini: 27/02/2019





SHAH ALAM, 27 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, Sabtu ini.

Perkara tersebut diakui penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berdasarkan kekuatan dan kelebihan PH sebagai kerajaan memerintah pada hari ini.

"Saya lihat PH mempunyai peluang lebih besar berbanding parti lawan kerana mereka ini adalah kerajaan dan rakyat masih bergantung kepada mereka untuk tujuan pembangunan.

"Selain itu, isu kebajikan rakyat dan pembangunan yang menjadi bahan kempen turut dilihat menjadi kekuatan PH untuk kekal di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana ‘Sinar Semenyih Paska PRK: Janji Untuk Rakyat' di Kompleks Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun PH berpeluang cerah untuk menang, namun kemenangan itu masih bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi pada hari berkenaan.

Justeru itu, Mohd Azizuddin berkata dengan berbaki dua hari lagi (sebelum hari mengundi) kerajaan PH perlu mempergiat kempen untuk terus menyeru penduduk di kawasan DUN itu keluar mengundi pada Sabtu ini.

"Apabila jumlah pengundi kurang, ini secara tidak langsung akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini dan kemenangan itu dilihat boleh berpihak kepada parti lawan," tambahnya.

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Karnival Amal Merdeka Kuala Pilah 2019 pada 23-25 Ogos

 
     

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel