mtl5i5BFu3I Buruh perlu jalani pemeriksaan mental selepas mengaku bersalah curi patung sembahan dan cemar surau
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Buruh perlu jalani pemeriksaan mental selepas mengaku bersalah curi patung sembahan dan cemar surau


Tarikh kemaskini: 27/02/2019





KLANG, 27 Feb (Bernama) -- Seorang buruh, Helmee Othman diperintahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan Perak walaupun dia mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini atas satu pertuduhan mencuri patung sembahan dan dua pertuduhan mencemarkan sebuah surau di Pelabuhan Klang minggu lepas.

Helmee,38, mengaku bersalah di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman kerana mencuri patung sembahan dan mencemar surau Sabilul Huda, Taman Pandamar Indah Pelabuhan Klang pada 4.15 petang 20 Feb manakala di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Abidin dia mengaku bersalah mencemar surau yang sama pada 2.45 petang 23 Feb.

Bagaimanapun kedua-dua majistret memutuskan adalah tidak selamat untuk menerima pengakuan bersalah tertuduh dan sehubungan itu memerintahkan Helmee dihantar menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Perak selama sebulan.

Kedua-dua majistret menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

Sejurus selepas Helmee mengaku bersalah, peguamnya  Nur Aida Md Zainuddin memohon mahkamah agar menyemak terlebih dahulu tahap kewarasan dan akal tertuduh sebelum menerima pengakuan bersalahnya.

"Mahkamah perlu semak terlebih dahulu tahap kewarasan dan akal tertuduh memandangkan seorang yang waras dan normal tidak akan melakukan perbuatan yang melibatkan isu sensitif iaitu kepercayaan agama,” katanya.

Bagi kesalahan mencemar surau, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Helmee juga  didakwa mencuri patung sembahan milik  Cheong Lin Chai, 51, di sebuah rumah di Pandamaran di sini, antara pukul 4 petang hingga 9.30 malam 20 Mac.

Kesalahan itu  di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Media pada Isnin melaporkan polis menahan seorang lelaki berhubung kejadian penemuan tiga patung berhala di surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli dilaporkan  sebagai berkata bahawa lelaki itu  dipercayai mempunyai masalah mental 'gila isim' (mengamalkan ajaran Islam yang menyimpang) selepas mengaku pernah belajar ilmu agama yang salah di sebuah  negara jiran.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

UniSZA muncul universiti rujukan manuskrip digital pertama di Malaysia

 
     

Masalah kemiskinan di Kelantan masih serius

 
     

Sarawak alu-alukan siasatan SPRM - Abdul Karim

 
     

Tambak laut: Anwar akan bertemu Ketua Menteri untuk bincang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel