Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadangan klinik bergerak luaskan capaian akses kesihatan di Semenyih


Tarikh kemaskini: 27/02/2019





SEMENYIH, 27 Feb (Bernama) -- Cadangan mewujudkan ‘Klinik Bergerak #SmartSemenyih’ oleh calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, jika dilaksanakan, mampu meningkatkan akses  perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Semenyih.

Menurutnya, idea itu tercetus selepas melihat kejayaan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menyediakan perkhidmatan  #SmartSelangor Mobile Library di Shah Alam, sebelum perbincangan dibuat dengan Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Klinik bergerak ini akan dapat memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman, yang tinggal jauh daripada akses klinik... ini dapat memberi akses kesihatan kepada semua penduduk Semenyih dan itu yang kita harapkan," katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas meninjau program pemeriksaan kesihatan oleh pertubuhan amal di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, di sini hari ini.

Muhammad Aiman berkata hal seperti bilangan klinik bergerak dan caj yang mungkin dikenakan perlu dibincang lebih lanjut.

Iniisiatif kesihatan 'Semenyih Sihat' antaranya bagi menaik taraf klinik kesihatan dan mewujudkan Klinik Bergerak #SmartSemenyih itu antara beberapa agenda perubahan yang akan diperjuangkan Muhammad Aiman bagi penduduk Semenyih sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu ini.

Dalam pada itu, calon PH itu berharap lebih banyak pemeriksaan kesihatan percuma dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) demi kebaikan penduduk.

Suri rumah, Nora Mohd Kassim, 51, antara yang menjalani pemeriksaan kesihatan itu, yakin inisiatif klinik bergerak itu akan mendapat sambutan baik penduduk Semenyih dengan syarat sebarang bayaran, jika dikenakan, adalah rendah.

"Kalau boleh biarlah caj yang sama seperti di klinik kerajaan supaya tidak membebankan penduduk kampung,” kata penduduk Kampung Sesapan Batu Minangkabau itu.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel