Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Klinik kotor, jual sijil cuti sakit diarah tutup


Tarikh kemaskini: 26/02/2019





JOHOR BAHRU, 26 Feb (Bernama) -- Bukan sahaja tidak menjaga kebersihan dan mematuhi aspek keselamatan malah turut didapati menjual sijil cuti sakit.

Itu antara kesalahan yang dilakukan oleh sebuah klinik swasta di Jalan Serigala, Taman Century di sini yang diarahkan tutup serta-merta selama 21 hari oleh Jabatan Kesihatan negeri ekoran isu berkenaan.

Difahamkan, klinik itu yang beroperasi sejak tahun 1975, didapati mengabaikan aspek-aspek keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit.

Turut difahamkan aduan berkenaan diterima daripada majikan-majikan yang menghantar pekerja mereka ke klinik terbabit untuk pemeriksaan kesihatan.

Tinjauan pagi tadi mendapati masih terdapat kira-kira 15 orang awam yang mengunjungi klinik itu sebelum penutupan oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Dua orang daripadanya sempat bertanyakan kepada wartawan sama ada klinik berkenaan ada menjual sijil cuti sakit atau tidak.

Selain itu, terdapat beberapa bahagian klinik didapati tidak terurus dan kotor antaranya tandas dan stor penyimpanan ubat selain dinding klinik juga didapati sudah usang kerana dimakan anai-anai.

Selepas 45 minit tinjauan dijalankan, wakil daripada Jabatan Kesihatan kemudian hadir ke premis terbabit dan menampal notis penutupan secara rasmi klinik itu di bawah Seksyen 52(2) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Swasta 1998 Akta 586.

Difahamkan, pihak Jabatan Kesihatan telah menghantar satu notis amaran kepada pengusaha klinik tersebut pada enam bulan lepas namun tetap tidak diendahkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Dr Sahruddin Jamal yang dihubungi mengesahkan arahan penutupan itu.

Beliau berkata ia bagi membolehkan pihak klinik mengambil langkah-langkah perlu untuk mematuhi syarat-syarat yang dikehendaki.

“Setelah semua syarat dipenuhi, pejabat kesihatan akan memeriksa semula premis sebelum dibenarkan dibuka balik,” kata beliau.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel