Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes penyalahgunaan dadah di Melaka turun 8.9 peratus tahun lepas


Tarikh kemaskini: 26/02/2019




MELAKA, 26 Feb (Bernama) -- Kes penyalahgunaan dadah di negeri Melaka mencatatkan penurunan sebanyak 8.9 peratus kepada 3,381 kes pada tahun lepas berbanding 3,711 kes pada tahun 2017, kata Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah.

Beliau berkata jumlah tangkapan individu terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah juga menurun kepada 4,265 orang pada tahun lepas berbanding 4,537 orang pada 2017.

Katanya daripada jumlah itu, 28 kes melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan tangkapan sebanyak 36 orang pada tahun lepas berbanding 44 kes melibatkan 61 tangkapan pada 2017.

"Isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis di Kontinjen Melaka pula hanya melibatkan tujuh kes dengan tujuh tangkapan pada tahun lepas dan ia hanya sekitar 0.01 peratus daripada jumlah operasi yang dilakukan berbanding lapan kes melibatkan lapan tangkapan pada 2017.

"Bagaimanapun kita memandang serius isu ini kerana ia akan memberi imej serta persepsi negatif kepada Polis Diraja Malaysia dan Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan agar tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai atau anggota terlibat dengan dadah termasuk tindakan tatatertib dan buang kerja sekiranya didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus meningkatkan operasi dan serbuan membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat di negeri ini khususnya pelajar sekolah dan IPT.

Sementara itu, katanya polis Melaka melalui agensi penguatkuasaan lain antaranya Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan terus menjalankan operasi bersepadu mengekang kegiatan keluar dan masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui jalan laut khususnya di sepanjang pesisir pantai negeri ini.

Raja Shahrom berkata ia kerana pesisir pantai khususnya di sekitar Ujong Pasir, Klebang, Kuala Sungai Baru dan Pulau Konet dikesan antara lokasi atau laluan masuk pendatang tanpa izin dengan bantuan tekong darat, laut dan ejen sindiket berkenaan.

"Pada November dan Disember tahun lepas, sebanyak lima serbuan dilakukan di sepanjang pesisir pantai Melaka dan kita telah berjaya menyelamatkan 55 pendatang asing manakala pada tahun ini, sehingga hari ini, sebanyak enam serbuan dilakukan dan 39 warga asing diselamatkan," katanya.

Beliau berkata antara warga asing yang diselamatkan terdiri daripada warga Indonesia dan Pakistan selain menahan warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat, laut dan ejen berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.

Katanya sehingga kini 11 kertas siasatan dibuka dan tujuh tekong darat, laut dan ejen telah dituduh di mahkamah kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia.

Raja Shahrom berkata modus operandi aktiviti tersebut ialah tekong akan menempatkan warga asing tanpa dokumen sah ini di premis, inap desa atau apartmen sebelum membawa mereka ke pantai untuk menaiki bot yang disediakan apabila keadaan selamat terutama pada awal pagi dan tengah malam. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga semalam, polis Melaka menerima sebanyak 23 laporan terhadap pemilik akaun Facebook kerana menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah iaitu 16 laporan di Melaka Tengah, Alor Gajah (enam laporan) dan Jasin (satu laporan).

Katanya laporan berkenaan dirujuk ke Kontinjen Pahang yang mana kes itu dikesan berlaku bagi siasatan dan tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel