Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kulasegaran akan bincang keperluan tubuh Majlis Penasihat Buruh Sabah


Tarikh kemaskini: 25/02/2019




KOTA KINABALU, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah berhubung keperluan menubuhkan Majlis Penasihat Buruh Sabah dalam tempoh terdekat.

Menterinya M. Kula Segaran berkata kementeriannya sentiasa terbuka membincangkan perkara bagi menambah baik seterusnya memperkasa lagi pelaksanaan undang-undang berkaitan buruh di negeri itu.

Beliau berkata perbincangan berkenaan juga antara lain akan turut melibatkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Sabah dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah, bagi melihat aspek perundangan buruh di negeri itu dalam konteks menyeluruh.

“Kementerian saya akan melihat apa yang boleh dilakukan, dan kami akan berbincang dengan kerajaan negeri Sabah terlebih dahulu mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MEF Sabah di sini, hari ini.

Persatuan Majikan-Majikan Sabah (SEA) sebelum ini menyuarakan pendapat bahawa keadaan ekonomi di Sabah berbeza dengan Semenanjung, malah ada antara undang-undang berkaitan tenaga buruh sedia ada, tidak praktikal diguna pakai di Sabah.

SEA juga berpendapat ketiadaan wakil Sabah dalam mana-mana majlis penasihat buruh termasuk Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), menyukarkan lagi majikan di negeri itu menyuarakan masalah dihadapi mereka.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah meletakkan wakil Sabah dalam jawatan kuasa teknikal NLAC seperti dicadangkan MEF bagi memudahkan perbincangan perkara berkaitan buruh.

Sementara itu Kula Segaran berkata, pelaksanaan sistem baharu dalam pengambilan pekerja asing adalah antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat MEF itu, selain Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Kula Segaran berkata kementeriannya pada masa ini sedang berbincang dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 bagi memberi kemudahan penginapan kepada tenaga buruh di kedua-dua negeri itu.

Akta itu tidak dipanjangkan ke Sabah dan Sarawak dan ia tidak terpakai di kedua-dua negeri berkenaan, katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel