Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMS pergiat penyelidikan translasi, transdisiplin untuk manfaatkan komuniti, industri


Tarikh kemaskini: 25/02/2019




KOTA KINABALU, 25 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu menggiatkan aktiviti penyelidikan translasi (Translational Research) dan penyelidikan transdisiplin (Transdisciplinary Research) agar setiap hasil kajian yang dilaksanakan mampu memberi impak dan manfaat besar kepada komuniti setempat serta industri.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof  Dr  Shahril Yusof berkata, penyelidikan translasi dan transdisiplin adalah dua kata kunci utama dalam pelan strategik penyelidikan UMS yang dirangka pada tahun 2018 bagi memenuhi kepentingan pemegang taruh di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Penyelidikan translasi adalah kajian bersifat ilmu yang dapat diterjemahkan kepada kepentingan masyarakat dan industri, sebagai contoh masalah bekalan air di kawasan pedalaman Sabah boleh dikaji bagi tujuan menyelesaikan masalah itu untuk manfaat komuniti setempat.

“Penyelidikan transdisiplin pula adalah kajian yang dilakukan tidak terhad hanya dari sekelompok penyelidik dalam bidang yang sama, tetapi turut melibatkan penyelidik yang berlatar belakangkan dari pelbagai bidang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyelidikan translasi dan transdisiplin ini juga satu daripada kriteria utama dalam agenda penyelidikan dan inovasi UMS yang memfokuskan kepada tujuh bidang penyelidikan iaitu bidang Akuakultur; Pertanian dan Makanan; Kelestarian Biodiversiti dan Alam Sekitar; Pelancongan; Kesihatan Awam dan Penjagaan Kesihatan Pintar; Pembasmian Kemiskinan, Keselamatan dan Pengangkutan Awam; dan budaya dan bahasa ibunda.

“Tujuh bidang penyelidikan yang ditumpukan ini juga mengambil kira kepentingan masyarakat dan industri, selain selari dengan 10 bidang keberhasilan kerajaan negeri Sabah serta 17 matlamat pembangunan lestari.

 Apabila universiti memfokuskan kepada penyelidikan translasi, sedikit kemungkinan kesannya adalah dalam bidang pendidikan kerana kajian yang dijalankan  lebih kepada penyelesaian masalah setempat dan negara, sekali gus sukar bagi penyelidik untuk menerbitkan jurnal.

“Diakui para ahli akademik kebanyakannya gemar memilih untuk membuat penyelidikan yang membolehkan mereka menerbitkan jurnal di peringkat antarabangsa yang turut menyumbang kepada peningkatan ranking universiti, tetapi realitinya kajian itu hanyalah kajian ilmu semata-mata dan kurang impaknya kepada komuniti dan industri,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa pendekatan UMS dalam mengambil ketetapan untuk memfokuskan penyelidikan yang menyumbang atau memberi impak kepada komuniti dan industri adalah lebih penting dan bermakna berbanding ranking semata-mata.

Sehubungan itu, Shahril berkata betapa pentingnya agenda penyelidikan translasi dan transdisiplin berkenaan dijayakan melalui kerjasama rapat antara UMS dengan pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan dan swasta di negeri Sabah, selain menyifatkan hubungan kerjasama UMS dengan pelbagai agensi ini adalah satu situasi menang-menang kerana mampu memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media

 
     

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit

 
     

Jambatan angkat dijangka dibuka 1 Ogos - Exco Terengganu

 
     

Pencemaran udara Pasir Gudang: Sembilan tabika perpaduan ditutup

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel