Ketua Kampung, Ketua Adat pantau isu dadah
Tarikh kemaskini: 23/02/2019
KUNAK, 23 Feb (Bernama) -- Ketua Kampung, Ketua Adat serta Ketua Masyarakat perlu membantu membanteras jenayah dadah di kawasan masing-masing dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.
Katanya, pemimpin di akar umbi juga diharap dapat menyenaraikan hotspot dadah untuk dipantau pihak berkuasa.
"Ketua Kampung, Ketua Masyarakat dan Ketua Adat jangan menutup mata, pekak telinga dan bisu mulut jika mengenai kes dadah ini, malah kita kena bangkit dan banteras dadah di daerah ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sambutan Hari Anti-Dadah Kebangsaan Peringkat Sabah di Dewan Sri Kunak di sini, hari ini.
Norazlinah yang juga Anggota Dewan Negeri Kunak itu percaya Ketua Kampung, Ketua Adat serta Ketua Masyarakat merupakan pemimpin barisan hadapan yang dekat dengan rakyat dan mempunyai capaian maklumat penduduk kampung.
"Dadah ini punca kepada banyak masalah, jika dilihat banyak laporan media mengenai kes kelar anak-anak, sanggup bunuh bapa dan mak apabila sudah mengambil dadah, ini yang kita tidak mahu berlaku," katanya.
Baru-baru ini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tawau menyerbu beberapa kampung di sekitar Kunak dan seramai 13 penagih dadah ditahan.
Sementara itu, Pengarah AADK Sabah Bakri Bibi berkata sebanyak 540 aduan diterima pihaknya sepanjang tahun lalu dan tindakan diambil terhadap semua aduan.
"Tahun lalu juga merekodkan 1,166 penagih dadah di Sabah dicekup hasil operasi bersepadu serta operasi pengesanan oleh cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sabah," katanya.
-- BERNAMA
|