Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan pusat salur peruntukan RM100 juta untuk baik pulih sekolah daif di Sarawak


Tarikh kemaskini: 19/02/2019





KUCHING, 19 Feb (Bernama) -- Sarawak telah menerima peruntukan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan persekutuan seperti yang dijanjikan untuk membaik pulih 33 sekolah daif di Sarawak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata peruntukan berkenaan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan projek yang dilaksanakan menggunakan sistem binaan industri (IBS) itu akan dimulakan dalam masa terdekat.

Maszlee menyatakan demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sarawak di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

"Dalam pertemuan saya hari ini bersama ketua menteri Sarawak dan Menteri Pendidikan Sarawak (Datuk Seri Michael Manyin Jawong) berjaya membuahkan beberapa hasil.

"Kami membincangkan isu berkaitan sekolah daif di Sarawak dan bagaimana kita boleh selesaikannya bersama," kata Dr Maszlee.

Mengenai berita tentang pemberhentian bekalan minyak diesel ke 21 sekolah di pedalaman Sarawak, Maszlee menegaskan perkara itu tidak pernah berlaku dan hanya salah faham.

Beliau memberi jaminan bekalan minyak diesel ke sekolah-sekolah terlibat diteruskan.

Sementara itu, katanya ketua menteri bersetuju untuk menggalakkan lebih ramai pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di Sarawak.

Sehubungan itu, katanya beberapa urusan berkaitan imigresen akan dipermudahkan dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak.

Semasa ditanya mengenai perkembangan berkaitan cadangan untuk mewajibkan ibu bapa menyekolahkan anak-anak mereka sekurang-kurang sehingga tingkatan lima, beliau berkata ia memerlukan pandangan dari semua pihak serta kajian terperinci sebelum boleh dilaksanakan. lagi

"Bukan hukuman yang menjadi keutamaan kita kerana apa yang diutamakan adalah supaya semua anak Malaysia mendapat pendidikan berkualiti," katanya.

Sementara itu, Manyin mengucapkan terima kasih kepada Maszlee di atas peruntukan RM100 juta untuk sekolah daif dan penerusan bekalan minyak diesel ke 21 sekolah di pedalaman Sarawak.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Pembalakan haram di hutan simpan harus dihentikan di Sabah - Mohd Shafie

 
     

15 penyewa PPR dikenakan tindakan kerana langgar peraturan

 
     

46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran di Pasir Gudang - Yeo

 
     

46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran di Pasir Gudang - Yeo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel