Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mayat penumpang jatuh feri ditemui


Tarikh kemaskini: 17/02/2019





GEORGE TOWN, 17 Feb (Bernama) – Mayat seorang lelaki dipercayai penumpang sebuah feri yang didakwa terjatuh dari feri berkenaan, Jumaat lepas akhirnya ditemui berhampiran Jeti Swettenham, di sini selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri itu ditemui terapung oleh orang awam kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

“Hasil pemeriksaan menemui wang RM1, kunci motosikal dan sebuah telefon bimbit bersama mayat lelaki itu, namun kami tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin Batu Uban, di sini sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata sehingga hari ini, polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian orang hilang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan untuk tampil membuat pengecaman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi Jumaat, seorang penumpang feri terjatuh ke dalam laut di 1.2 kilometer barat laut berhampiran Terminal Feri Butterworth.

Pelbagai agensi terdiri daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) terlibat dalam operasi SAR berkenaan.

Operasi SAR digerakkan pukul 9.50 pagi Jumaat sebaik APMM menerima laporan seorang mangsa dikhuatiri hilang selepas jatuh dari Feri Pulau Undan Pulau Pinang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

15 penyewa PPR dikenakan tindakan kerana langgar peraturan

 
     

46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran di Pasir Gudang - Yeo

 
     

46 lokasi berpotensi berlaku pencemaran di Pasir Gudang - Yeo

 
     

Garis panduan permohonan, pembaharuan lesen kilang kimia akan diteliti semula

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel